Tarikh tersebut adalah hari ketiga konvokesyen yang berlangsung selama empat hari bermula 20 Oktober.

Tidak dinafikan mana-mana universiti di negara kita apabila berlangsung istiadat konvokesyen, situasi di universiti tersebut akan sesak, baik di kawasan khemah mahu pun persekitaran dewan utama.

Allhamdulillah, hari itu keadaan terkawal. Terima kasih diucapkan kepada para petugas UM. Tetapi ada dua perkara yang saya fikir tidak harus berlaku.

Pertama, ramai dalam kalangan ibu bapa yang tidak dapat masuk ke dalam Dewan Konvokesyen. Alasanya, dewan penuh. Alasan itu boleh diterima tetapi yang tidak boleh masuk kesemuanya mempunyai kad (pas) kemasukan. Termasuk saya dan isteri.

Kami telah diarahkan masuk ke dewan lain yang mempunyai skrin besar. Dewan tersebut seperti sebuah auditorium atau pentas persembahan. Saya dan isteri tidak kisah sangat ditempatkan di mana pun kerana kami sudah beberapa kali menghadiri istiadat konvokesyen.

Apa yang ‘menghibakan’, ada sepasang suami isteri mengadu mereka hanya mempunyai seorang anak. Inilah saat yang mereka nantikan setelah empat tahun anak mereka belajar.

Atas rasa simpati, kami mengajak pasangan itu mencuba nasib. Kami keluar dari auditorium dan kembali ke pintu masuk dewan. Apa yang kami lihat, masih ramai ibu bapa yang beratur dan dibenarkan masuk. Kami pun beratur semula buat kali kedua. Pengawal pintu masuk menyatakan hanya 32 orang sahaja yang boleh masuk. Nasib kami baik, kami termasuk dalam senarai 32 orang itu.

Yang kami tidak puas hati, kenapa kami yang beratur lebih awal tidak dibenarkan masuk, alasan dewan sudah penuh.

Perkara kedua yang menjadi tanda tanya, sebaik sahaja selesai konvokesyen, di luar dewan ada upacara berasingan iaitu tarian. Saya tidak pasti tarian apa kerana keadaan agak sesak. Seimbas pandang macam ‘poco-poco’ tetapi muziknya gendang tarian naga.

Keadaan amat bising dan mengganggu ketenteraman.

Ibu bapa dan para graduan yang hendak keluar berasak-asak kerana di hadapan dewan ada acara tersebut. Saya juga kurang pasti apakah acara seumpama itu menjadi tradisi UM?

BAPA KECEWA

Pahang.