Tidak kisahlah jika mahu menghapuskan legasi seteru politik tetapi janganlah menghapuskan inisiatif yang sangat bermakna kepada rakyat khususnya warga miskin dan kurang berkemampuan.

Bagi ahli politik yang rata-ratanya sudah menjadi jutawan, angka 33 klinik itu umpama ‘tahi gigi’ sahaja tetapi bagi rakyat seperti saya, satu klinik ditutup umpama satu bala besar.

Saya tahu menteri akan memberi pelbagai hujah seperti kos operasi tetapi rakyat sebenarnya mengharapkan lebih banyak ‘klinik kecil’ seumpama ini dibina, bukannya ditutup.

Bukan sahaja faktor lokasi dan caj murah, sistem klinik komuniti ini memudahkan kakitangan kesihatan mendekati penduduk setempat dan tidak melihat kami sekadar angka dalam fail yang tebal.

Hubungan lebih akrab dengan penduduk setempat memberi kesan psikologi khususnya dalam mendorong pesakit datang kembali untuk menerima rawatan dan pemantauan susulan.

Kesihatan saya semakin baik selepas wujudnya Klinik 1Malaysia kerana saya lebih selesa membuat pemeriksaan dan mendapatkan rawatan berbanding dahulu kerana perlu beratur lama di hospital.

Saya pernah berhenti berjumpa doktor selama dua tahun kerana tidak tahan menunggu lama untuk berjumpa doktor dan mendapatkan ubat tetapi konsep klinik komuniti ini memberi keselesaan dan mendorong saya kerap hadir memantau tahap kesihatan saya.

Apa pun, saya harap Menteri Kesihatan mempunyai inisiatif yang lebih baik untuk menggantikan atau meningkatkan lagi akses rakyat terhadap kemudahan kesihatan kelak.

KERANI PENCEN

Kuala Lumpur