Sebagai seorang penjawat awam, saya ingin menegaskan kesetiaan itu bukannya mutlak sebaliknya hanya tertakluk dalam perihal kerja hakiki yang diamanahkan kepada setiap kakitangan kerajaan.

Kesetiaan mutlak hanya kepada Allah, kesetiaan kepada manusia hanya untuk sultan dan tidak wujud langsung konsep kesetiaan kepada ahli atau parti politik.

Saya tidak menyertai atau menjulang mana-mana parti atau ahli politik, saya mengundi mengikut kehendak hati atas hak individu untuk memilih dalam sistem demokrasi.

Itu semua tidak memberi kesan langsung terhadap amanah sebagai seorang penjawat awam, kenapa pula ahli politik yang mandatnya hanya untuk lima tahun sahaja mahu pertikaikan kedudukan kami yang berjawatan tetap?

Penjawat awam makan gaji dengan kerajaan sedia ada dan tidak perlu ada kegusaran tentang kesetiaan jika tiada apa yang cuba disorokkan atau perancangan yang ‘berniat jahat’.

Tidak ada sebab kami mahu membocorkan sebarang rahsia kerajaan melainkan rahsia itu mengancam keharmonian negara atau menjejaskan kedudukan Melayu dan Islam mahupun mana-mana bangsa dan agama lain.

Oleh itu, suka saya sarankan ahli politik yang baharu panaskan kerusi di pejabat itu jangan takut kepada bayang-bayang sendiri. Jalankan amanah rakyat kepada kamu dan yakinlah kami penjawat awam juga akan jalankan amanah kami sekalipun cuma dapat bonus Aidilfitri RM400.

Jangan sesekali samakan penjawat awam dengan ahli politik ‘lompat katak’ kerana keutamaan kami adalah kepada keluarga, agama, bangsa dan negara.

BAPA TUNGGAL

Putrajaya