Mohon bertindaklah segera! Sudah bertahun-tahun malah ada yang lebih 10 tahun bertugas, ada kuarters diberikan dan bergaji sedangkan ramai rakyat tempatan berkelulusan agama terpaksa bekerja jauh dari tempat tinggal atau mencari makan dengan membuat kerja lain yang tiada kaitan dengan kelulusan masing-masing.

Kita ada ramai lulusan madrasah dan pondok yang diiktiraf dari dalam dan luar negara. Kita ada lulusan agama universiti tempatan dan universiti luar negara yang semuanya diiktiraf oleh negara kita dan majlis agama Islam di negeri-negeri.

Apakah kita sangat terdesak dan mengalami kekurangan tenaga kerja dalam kalangan rakyat tempatan sehinggakan jawatan bilal pun diberikan kepada warga asing?

Kenapakah isu ini tidak mampu dikesan atau ditangani oleh pengurusan masjid? Jika pihak pentadbiran masjid sedia ada tidak mampu, tukar kepada mereka yang mampu menggalas amanah menjaga masjid.

Bukankah setiap masjid mempunyai petugas daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang dihantar bagi menyelia dan memberi maklum balas kepada jabatan agama masing-masing?

Jika wakil jabatan itu tidak mampu, tukar kepada pegawai lain yang berupaya menggalas amanah sebagai ‘mata’ dan ‘telinga’ pihak berkuasa.

Selain itu, warga asing ini turut mengajar Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), memberi ceramah dan khutbah Jumaat. Mereka turut memberikan kuliah agama bukan hanya di masjid masing-masing bahkan di masjid berdekatan.

Jika mereka ini mempunyai tauliah, jabatan agama mana yang memberikan kebenaran kerana mereka ini warga asing? Kita mempunyai ramai lulusan agama namun dianaktirikan.

Adakah Jawi dan JAIS terlepas pandang atau tidak membuat kerja? Hebat sangatkah mereka dalam bidang agama? Jika alasan diberikan hanya sebagai imam rawatib (gantian) terutama waktu cuti, hujung minggu atau musim perayaan, ia tetap wajib terdiri dalam kalangan warga tempatan yang layak.

Pihak masjid kena pandai menyusun jadual dan bukannya mengambil mudah memberi jawatan kepada warga asing sekali dengan pakej kuarters dan imbuhan lain yang mana rakyat tempatan sendiri terkial-kial mencari kerja dan rumah untuk didiami.

Ada juga dalam kalangan warga asing ini yang ‘aktif berpolitik’ acah-acah manja menghentam kerajaan secara tertutup dalam kumpulan WhatsApp dan juga ketika berbual. Ada juga yang aktif berceramah dan memberi tazkirah sambil menghentam kerajaan secara terbuka.

Kita tidak menghalang perbezaan fahaman politik tetapi jika mereka nak menghentam kerajaan, dipersilakan tetapi hentamlah kerajaan mereka di negara sendiri dan bukan di tempat mereka mencari makan. Jangan menjadi seperti ‘kucing nakal mengambil makanan sambil menggigit tangan mereka yang memberi makan’.

Selain itu, wujud juga penggunaan kitab tidak sesuai dengan masyarakat tempatan dan pentafsiran ajaran agama yang berlainan. Kita khuatir imam ‘seberang’ ini ‘berfahaman lain’ selain kita juga ingin mengekang elemen keganasan daripada menular kepada rakyat tempatan.

Ini kerana pendekatan Islam negara mereka berlainan dengan kaedah kita yang sederhana. Ini akan mewujudkan ketegangan politik dan menjejaskan keharmonian negara ini.

Apatah lagi Ramadan akan menjelang. Sehubungan itu, keghairahan pihak masjid mengambil warga asing sebagai imam tarawih hendaklah dikekang terus. Imam tempatan yang terdiri daripada para hafiz tidak layakkah?

Justeru saya mohon tindakan tegas dan kekal diambil bagi menangani isu ini. Berilah peluang kepada lulusan agama tempatan yang semakin ramai tidak bekerja.

RAKYAT MALAYSIA
PRIHATIN

Kuala Lumpur