Bayangkan sehingga hari ke-23 (surat kepada Forum Utusan Malaysia pada 20 Jun 2017), kelulusan visa daripada pihak Imigresen masih belum diperoleh sedangkan pembantu rumah saya perlu pulang ke negaranya untuk berhari raya.

Pelbagai usaha telah dilakukan termasuk membuat beberapa panggilan telefon dan e-mel kepada Ibu pejabat MyEG namun respon diterima cenderung mengatakan permohonan dibuat tidak mengikut prosedur sebagai alasan.

Pada saat kritikal mereka meminta saya mengemukakan salinan tiket penerbangan pembantu rumah pula, kononnya sebagai dokumen tambahan bagi memberi tekanan kepada pihak Imigresen meluluskan visa. Ironinya, arahan sama tetap diberi biarpun saya telah menghantar salinan tiket penerbangan beberapa kali ke e-mel MyEG.

Peliknya, semasa proses permohonan memperbaharui permit di pejabat MyEG Putrajaya pada 6 Mei lalu, tiada pula apa-apa maklumat atau dokumen yang diminta. Untuk makluman, pembayaran caj levi dan caj proses telah pun dibayar pada hari permohonan pembaharuan visa. Apakah bayaran dibuat tidak melayakkan saya mendapat perkhidmatan sewajarnya?

Bagi mengelak kompetensi perkhidmatan MyEG dipertikaikan pada masa depan, saya sarankan pihak kerajaan melalui agensi dipertanggungjawabkan memantau pelaksanaan kontrak perkhidmatan dengan MyEG.

TENGKU MAN

Pandan Indah