Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Kebuluran di Yemen serius

KERATAN Utusan Malaysia 22 April 2017.
KERATAN Utusan Malaysia 22 April 2017.

SAYA cukup sedih apabila menatap gambar disiarkan Utusan Malaysia pada 22 April lalu mengenai keadaan kanak-kanak di Yemen yang kurus kering apabila mereka menjadi mangsa kebuluran ekoran perang yang berlaku di negara itu.

Gambar itu dirakam sendiri oleh anggota Malaysian Relief Agency (MRA) yang menjalankan misi tinjauan di negara itu pada 10 April lalu. MRA adalah antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari negara ini yang aktif menghulurkan bantuan kemanusiaan di situ.

Walaupun perang telah berlaku di negara itu hampir tiga tahun, saya mendapati bantuan yang dihulurkan pihak antarabangsa belum mencukupi.

Tiada negara yang bangkit memperjuangkan nasib rakyat Yemen seperti yang dibuat bagi menolong penduduk Syria dan Rohingya.

Selain MRA, satu lagi NGO dari negara ini yang aktif membantu penduduk negara itu adalah Muslim Care Malaysia (MCM).

Sejak akhir 2016, pertubuhan itu telah menjalankan pelbagai kempen mengutip derma untuk tabung Peace for Yemen dengan sasaran sebanyak RM1 juta.

Walaupun MCM telah mendapat sokongan daripada artis tempatan seperti Heliza Helmi, Afdlin Shauki, Adam Corrie dan Zain Saidin bagi menjalankan kempen, sambutan daripada orang ramai cukup dingin.

Saya tidak faham kenapa perkara itu boleh berlaku sedangkan kebuluran di Yemen adalah lebih teruk berbanding kejadian sama di Somalia dan Sudan. Paling terus terjejas adalah golongan kanak-kanak.

Sambutan yang tidak memberangsangkan itu mungkin berpunca daripada kurangnya publisiti diberikan dalam media massa. Kebanyakan aktiviti MCM hanya dihebahkan melalui sebuah stesen televisyen berbayar di negara ini.

Sebenarnya, konflik berdarah yang melanda negara yang mempunyai 27 juta penduduk bermula sekitar September 2014, apabila kumpulan Syiah Houthi bertindak melakukan pemberontakan di ibu negara itu, Sanaa dan kemudian merebak ke tempat-tempat lain.

Pemberontakan yang hampir masuk tahun ketiga terus berlaku dan sehingga saat ini tiada tanda-tanda peperangan antara tentera kerajaan yang sah dan puak Syiah Houthi itu akan berakhir. Peperangan yang berlaku itu telah menyebabkan kemusnahan teruk kepada negara berkenaan.

Banyak bangunan dan kediaman musnah. Paling menyedihkan rata-rata rakyat Yemen kini hidup dalam keadaan serba kekurangan terutama ketiadaan bekalan makanan mencukupi. Disebabkan faktor itu, banyak penduduk di negara berkenaan diancam kebuluran.

Selain itu, masalah penularan penyakit berjangkit seperti taun turut menghantui mereka berikutan kesukaran mendapatkan bekalan air bersih.

Untuk mengetahui tahap keseriusan krisis di Yemen eloklah kita membaca laporan terbaharu Pejabat Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) di laman web www.unocha.org/yemen.

Menurut laporan yang dikemas kini pada awal bulan ini, jumlah dana yang diperlukan untuk membantu penduduk Yemen adalah AS$2.1 bilion (RM9.2 bilion) dengan jumlah penduduk diancam kebuluran adalah 14.1 juta orang manakala 3.3 juta orang daripada jumlah itu menjadi pelarian di negara sendiri.

Setakat ini, hanya 15 peratus daripada keseluruhan dana yang diperlukan untuk membantu penduduk negara itu berjaya dikutip oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Jumlah dana yang telah disalurkan oleh PBB untuk membantu penduduk Yemen sejak 2015 adalah AS$59.2 juta (RM254.5 juta) termasuk AS$25 juta (RM107.5 juta) pada tahun ini.

Jumlah itu masih lagi tidak mencukupi. Oleh itu, sudah sampai masanya umat Islam yang berjumlah 1.8 bilion orang di seluruh dunia membantu saudara seagama mereka.

Saya difahamkan antara barangan keperluan yang amat diperlukan adalah makanan, air minuman, ubat-ubatan, pakaian dan selimut.

Rakyat Malaysia perlu sama-sama membantu kerana kita banyak terhutang budi dengan penduduk Yemen terutama pedagang dari wilayah Hadramaut yang telah menyebarkan Islam ke Alam Melayu.

HAMID ASSEGAF

Pulau Pinang

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain