Saya percaya titah baginda itu adalah berdasarkan perkembangan yang berlaku mutakhir ini. Lebih-lebih lagi apabila terdapat pemimpin kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlalu mengagungkan hak asasi manusia hingga sanggup mengenepikan hak majoriti.

Sebagai contoh langkah untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang kini diusahakan bersungguh-sungguh oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy.

Syukur, usaha yang cuba diambil oleh Waytha Moorthy ini mendapat tentangan hebat daripada UMNO, Pas dan beberapa NGO. Paling menarik tentangan juga ditunjukkan oleh sahabat-sahabat Waytha dalam kerajaan pakatan pembangkang.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut menyuarakan bantahan mereka terhadap pelaksanaan ICERD,

Sebab apa ditentang? Sebabnya ICERD adalah bertentangan dengan Perkara 153 (1) Perlembagaan Persekutuan. Setakat ini rata-rata orang Melayu telah menunjukkan penentangan mereka terhadap usaha berkenaan.

Hakikatnya, ratifikasi ICERD yang cuba diusahakan itu adalah bersandarkan semata-mata kepada acuan barat tanpa mengambil kira acuan kepelbagaian kaum di negara ini. Paling penting langsung tidak bersandarkan kepada Islam sebagai agama bagi Persekutuan.

Begitu juga usaha untuk mengiktiraf golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) oleh NGO tertentu sebelum ini. Atas dasar apa? Atas dasar hak asasi acuan barat. Sedangkan apa yang dilakukan ini jelas bertentangan dengan Islam.

KHALEEF

Shah Alam