Begitupun, satu fakta yang kurang dinyatakan ialah tentang usaha terancang dan licik pihak tertentu menimbulkan kebencian dalam kalangan rakyat terutamanya Melayu untuk membenci UMNO agar kaum itu malu menjadi Melayu dan membenci sesama Melayu.

Matlamat musuh adalah mudah iaitu memporak perandakan UMNO iaitu sebuah organisasi Melayu kuat kepada organisasi ‘mati’, sekali gus memberi ‘tapak’ kepada musuh untuk mengambil alih kerajaan dengan bantuan kumpulan Melayu sendiri setelah termakan hasutan musuh memburukkan organisasi yang didukung atau diterajui orang Melayu.

Buktinya, beberapa organisasi diketuai orang Melayu seperti Petroliam Nasional Bhd. (Petronas), Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) telah ‘digempur’ dan digambarkan sebagai korup, tidak cekap dan dipengaruhi ‘orang jahat UMNO’.

Kemudian dihalakan cemuhan kepada institusi agama terutama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), pihak berkuasa agama negeri, institusi zakat dan institusi-institusi lain berkaitan Islam dengan memberi gambaran bahawa mereka ini tidak tahu bekerja, tidak cekap dan tidak menjalankan tugas.

Banyak lagi sasaran serangan telah dibuat sehingga melarat kepada isu peribadi pemimpin, tuduhan liar dan interpretasi salah yang dicanang untuk memberi gambaran bahawa Melayu ini tidak boleh memerintah negara. Malahan kebesaran dan hak keistimewaan raja-raja Melayu juga sudah mula dipersoalkan.

Kejayaan musuh apabila sebahagian kumpulan Melayu terpengaruh membenci kaum mereka sendiri dan memusuhi UMNO sehabis dahsyat. Entah bagaimana penyokong UMNO yang dahulunya tegar dan bijak pun termakan hasutan dan tohmahan musuh yang dibuat secara sistematik dan terarah.

Kumpulan Melayu terbabit menjadi wira papan kekunci yang sentiasa mencerca dan mencemuh UMNO seolah-olah parti Melayu itu tidak berjasa langsung terutama dalam bidang pendidikan sedangkan selama ini telah diberi peluang pendidikan dan kerjaya baik walaupun di peringkat awal mereka sepatutnya tidak tersenarai dalam meritokrasi baik!

Inilah sudut pandangan yang tidak dizahirkan secara lebih tepat dan tegas terutama dalam menyedarkan orang Melayu bahawa terdapat musuh daripada kaum itu yang mahu menguburkan UMNO dan menamatkan perjuangan bangsa sendiri. Tidak hairan kerana pemerintahan British sebelum ini sudah pun melakukannya dahulu dengan dasar pecah dan perintah.

Mungkin perkara itu perlu dibentangkan pemimpin dengan lebih berani tanpa berselindung atau mengharapkan pengertian dengan maksud tersirat atau kiasan yang tidak setajam kaedah terang-terangan.

Pendekatan mungkin berbeza tetapi kebencian yang disemai selama beberapa tahun mesti ditangani secara tuntas kerana semakin lama semakin terasa kebencian ditanam itu telah memberi kesan positif kepada musuh politik.

Situasi berkemungkinan menjadi lebih buruk jika pemimpin parti di peringkat bawahan tidak disediakan fakta konkrit bagi menangkis atau menjawab segala tohmahan dan dakwaan musuh kepada akar umbi.

Besar harapan saya agar catatan peribadi ini dapat diketengahkan bagi menimbulkan kesedaran tentang peri pentingnya pemimpin parti menangani penularan propaganda musuh bagi menimbulkan kebencian orang Melayu terhadap UMNO secara agresif sehingga boleh memusnahkan satu-satunya parti keramat orang Melayu pada masa depan!

RAKYAT YANG GELISAH

Kuala Lumpur