Rakyat sudah nyatakan bantahan terhadap sikap kurang ajar Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional terhadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail tetapi kini Ahli Parlimen Pakatan Harapan pula bersikap serupa dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Ini menunjukkan ahli politik di negara ini sudah semakin besar kepala dan lupa kedudukan mereka dalam negara persekutuan yang berasaskan Raja Berpelembagaan ini, saya ulang perkataan ‘Raja’ sebelum ‘Perlembagaan’.

Raja-raja Melayu selaku ‘tuan tanah’ mempunyai banyak kuasa yang jarang atau tidak pernah digunakan sejak negara merdeka supaya tidak mencampuri urusan pentadbiran negara kerana kedudukan baginda Sultan berada di atas ahli politik.

Namun, apabila ahli politik semakin besar kepala sehingga berani bersikap kurang ajar dan mengundang kemurkaan raja-raja Melayu, saya rasa sudah sampai masanya Sultan dan Yang di-Pertuan Agong melaksanakan kuasa mereka bagi menunjukkan bumi bertuah ini tidak akan dibiar tumbang seperti kerajaan-kerajaan Melayu lain di Nusantara.

Tindakan memeras atau memaksa mana-mana raja Melayu boleh dikira sebagai melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong yang membawa hukuman mati. Keputusan Majlis Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong adalah mutlak dan tidak boleh dicabar mana-mana ahli politik, peguam mahupun mahkamah.

Saya harap Majlis Raja-Raja yang akan bersidang mengambil kira hukuman buang daerah dan melucutkan kerakyatan sebagai antara hukuman wajar terhadap mana-mana individu yang cuba mengatasi kuasa eksekutif Yang di-Pertuan Agong (Fasal 39 Perlembagaan).

Ahli politik cuma mempunyai mandat perundangan di dalam Parlimen, itupun perlu diperbaharui setiap lima tahun sama ada melalui pilihan raya atau lantikan sebagai Senator.

Baginda Sultan khususnya Yang di-Pertuan Agong mempunyai budi bicara penuh dalam banyak perkara termasuk pelantikan jawatan pentadbiran, pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, memperkenan rang undang-undang dan lantikan kehakiman

Suka saya ingatkan juga, Yang di-Pertuan Agong selaku ketua agama Islam juga memegang kuasa mengisytiharkan darurat (Perkara 150 Perlembagaan) dan sebagai pemerintah tertinggi angkatan tentera pasti tidak mempunyai masalah mengambil alih pentadbiran negara jika perlu.

Selagi kesetiaan angkatan tentera masih dengan raja-raja Melayu, ahli politik jangan terlalu hidung tinggi seolah-olah Semenanjung Tanah Melayu, Sabah mahupun Sarawak adalah milik individu mahupun golongan tertentu.

Daulat Tuanku, Daulat Tuanku. Patik mewakili rakyat jelata menyatakan kesediaan bersama istana menyanggah mana-mana ahli politik yang kurang ajar sehingga mengundang murka raja-raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong pada bila-bila masa.

Walaupun tidak mahu melihat berlaku rampasan kuasa tentera seperti yang berlaku di negara jiran, rakyat khususnya orang Melayu akan mengutamakan Tuanku Sultan lebih daripada mana-mana ahli politik demi kelangsungan anak cucu kami kelak.

TENTERA SETIA

Kuala Lumpur