Barangkali sebab itu juga Utusan rapat dengan kegiatan sastera dan menganjurkan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) saban tahun sebagai tanggungjawab dan bukti betapa mereka terus menerus meraikan sastera dan bahasa kebangsaan.

Catatan Nota Pengarang dalam keluaran baharu Mingguan Malaysia 16 September lalu menegaskan ruangan untuk sastera akan diteruskan dan karya tersiar akan dinilai untuk HSKU sedikit sebanyak melegakan golongan penulis yang sebelum ini tertanya-tanya sama ada penganjuran HSKU akan diteruskan atau pun tidak.

Untuk itu, sebagai peminat sastera dan bahasa saya berasa gembira atas berita ini. Setahu saya, Utusan adalah satu-satunya akhbar yang setia menganjurkan hadiah sastera untuk pelbagai kategori baik novel, cerpen, puisi dan esei secara konsisten.

HSKU telah melahirkan begitu banyak penulis yang kini nama mereka telah mekar dalam arena sastera tempatan seperti Azman Hussin, Lee Kok Cheah, Lim Swee Tin, Ramli Awang Murshid, Zaid Akhtar, Siti Rahayu Yusop, Hafizah Iszahanid, Wan Nor Azriq dan ramai lagi.

Justeru, penganjuran HSKU adalah sangat wajar diteruskan kerana sastera bukan sekadar pengisi ruangan akhbar pada hujung minggu sebaliknya cerminan kemajuan bangsa, penyatuan rakyat dan pemaparan keindahan bahasa Melayu.

Maka, sastera juga adalah ejen penyatuan rakyat Malaysia berbilang bangsa. Harapan saya agar HSKU terus mendapat sambutan penulis, bertambah baik dan melahirkan lebih ramai penulis baharu agar sastera tempatan dapat melonjak ke peringkat yang lebih tinggi.

FIQSYEN BIRU

UiTM Shah Alam