Adakah dengan bangganya kita boleh bergembira dan menggembirakan generasi pelopor kemerdekaan? Sewajarnya negara kita sudah matang, sudah mampu melahirkan golongan pelapis menerusi pelbagai perubahan, memiliki keluarga besar, mempunyai kedudukan kewangan stabil dan akan mewariskan segala harta kepada golongan pelapis.

Jika kita ingin melihat negara ini pada masa akan datang, maka lihatlah pada generasi mudanya pada masa kini. Di manakah kedudukan generasi muda pada masa kini?

Adakah peratusan penyertaan mereka dalam sektor penting negara telah meningkat berbanding sedekad lalu atau semakin menurun? Mungkin kita boleh berbangga dengan kehadiran muka-muka muda yang menerajui sektor utama negara namun adakah kehadiran mereka mewakili secara menyeluruh golongan muda di negara ini?

Adakah kehadiran mereka hanya sebagai pelengkap majlis?

Peluang sama rata untuk bersaing secara sihat perlulah diberikan tanpa mengurangkan penglibatan generasi terdahulu sebagai mentor .

Tiada yang tua maka tiadalah yang muda. Kita perlu berpegang kepada ayat ini namun ayat seperti ‘siapa dahulu makan garam’ perlulah dibuang jauh-jauh kerana itulah yang akan memundurkan negara ini.

Merdeka adalah suatu peristiwa yang mengizinkan negara kita berada pada tahap semasa dan peristiwa ini juga yang akan mendisiplinkan masyarakat Malaysia untuk mengorak langkah menuju negara maju.

Kita perlu maju dengan acuan kita sendiri. Tidak ada ertinya kemerdekaan jika kita maju dalam acuan yang ditentukan oleh orang lain. Tidak ada gunanya kita merdeka tetapi pada zahirnya kebergantungan ekonomi kita pada kuasa luar masih pada tahap lama.

Kita perlu berganding bahu menjadikan Malaysia hebat kembali seperti zaman Kesultanan Melayu Melaka di mana pedagang asing mengiktiraf kekuatan dan kehebatan bumi bertuah ini.

Malaysia perlu kekal mengamalkan dasar perkongsian kuasa bijak antara kaum yang perlu dicontohi negara lain.

Dasar kerajaan perlu melibatkan semua lapisan masyarakat. Kita perlu membuang sifat lama seperti tidak menghormati waktu, rasuah dan korupsi serta sifat toleransi antara kaum.

Budaya menjaga kroni perlulah dihapuskan sama sekali kerana ia tidak membawa manfaat kepada negara.

Proses dan sistem dalam pentadbiran awam perlulah bersih dan telus supaya tiada lagi ruang yang kabur.

MOHAMMAD NOORIZZUDDIN NOOH

Universiti Sains Islam Malaysia