Salah satu isu yang telah dibangkitkan adalah mengenai kewujudan makanan dicemari sisa antibiotik dan bakteria yang kebal kepada antibiotik.

Sejak bertahun-tahun lalu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah menyuarakan kebimbangan mengenai penggunaan antibiotik dalam sektor pertanian di Malaysia.

Penggunaan antibiotik secara rutin dalam makanan ternakan untuk mencepatkan pembesaran selain mencegah penyakit mewujudkan bakteria kebal terhadap antibiotik yang kemudian berpindah kepada manusia.

Antibiotik tidak seharusnya disalahgunakan untuk mencegah penyakit dan menggalakkan pembesaran haiwan sebaliknya hanya boleh digunakan untuk merawat jangkitan.

Kedegilan peladang dan penternak untuk mematuhi nasihat ini menyebabkan makanan kita dicemari sisa antibiotik dan bakteria yang kebal kepada antibiotik.

Misalnya, Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (USFDA) telah mengharamkan kemasukan udang dari Malaysia pada 2016 kerana mengandungi dua antibiotik yang diharamkan iaitu chloramphenical dan nitrofurans.

Hakikatnya, kedua-dua antibiotik berkenaan telah diharamkan untuk kegunaan di Malaysia sejak 1985. Namun antibiotik itu masih digunakan di kolam ternakan ikan dan udang serta ladang yang menghasilkan daging. Kehadiran dua jenis antibiotik jenis itu dalam daging dan ikan bukan perkara baharu. Pada penghujung 1980-an, tinjauan CAP mendapati ladang ternakan ayam, itik dan babi menggunakan chloramphenical yang boleh menyebabkan kegagalan sumsum tulang berfungsi secara semula jadi. Nitrofurans pula boleh menyebabkan kanser.

Dalam satu tinjauan lain, pihak kami mendapati penjualan antibiotik di kedai-kedai yang menjual makanan ternakan dilakukan dengan sewenang-wenangnya. Pada 2016, CAP mengesan antibiotik erythromycin dijual secara meluas di kedai-kedai yang menjual makanan ternakan di Kedah dan Perlis. CAP dimaklumkan antibiotik itu disarankan untuk digunakan secara rutin kepada haiwan bagi menggalakkan pembesaran.

Selain itu, CAP turut mengesan bakteria kebal dalam daging. Seawal 1988, ujian CAP telah mengesan bakteria yang kebal kepada penicillin dalam daging ayam, kambing dan babi.

Dalam satu kajian dijalankan Jabatan Perkhidmatan Veterinar pada 2012, separuh daripada ayam tempatan kebal kepada ampicillin, sulphonamide dan tetracycline. Sampel makanan seperti daging lembu, kambing dan ayam mempunyai kuman salmonela yang kebal kepada antibiotik. Kuman sama turut ditemui dalam daging lembu dan ayam diimport.

Salmonela boleh menimbulkan pelbagai masalah kesihatan termasuk cirit-birit, demam dan kejang perut. Di sebalik ancaman itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar pada 2016 mengumumkan pihaknya tidak bercadang mengharamkan penggunaan antibiotik dalam industri ayam dan itik kerana tiada bukti saintifik manusia boleh menerima kesan negatif daripada memakan daging haiwan yang diberi antibiotik.

Dasar dangkal sebegini cukup ironik apabila rangkaian restoran makanan segera antarabangsa sudah mula mengelak daging, khususnya ayam yang dibesarkan menggunakan antibiotik. Oleh itu, sudah sampai masanya kerajaan mengharamkan penggunaan antibiotik dalam sektor pertanian di negara ini.

S.M. MOHAMED IDRIS

Presiden CAP