Artikel menyatakan beras kekal sebagai makanan ruji rakyat Malaysia, namun trend menunjukkan penggunaan bijirin seperti gandum meningkat 60 peratus pada 2017 berbanding 2008.

Saya musykil, adakah benar bijirin yang juga komoditi penting masih tidak diregulasikan selama ini? Kajian mengatakan Malaysia juga bergantung sepenuhnya kepada syarikat-syarikat asing untuk mengimport gandum, jagung dan soya untuk memenuhi permintaan tinggi di negara ini.

Mengapa tidak ada pengimport tempatan? Jika gandum dianggap komoditi penting, kenapa tidak ada satu sistem kawal selia terhadap proses pengimportannya?

Pemahaman saya, jika syarikat-syarikat asing ini memutuskan ekosistem pengimportan bijirin-bijirin itu, maka permintaannya akan meningkat dan harga melonjak dalam keadaan yang terdesak. Adakah kita mempunyai bekalan mencukupi sekiranya berlaku keadaan yang tidak dapat dielakkan?

Selain itu, artikel tersebut juga menyatakan bahawa walaupun proses pengimportan komoditi ini melibatkan penghantaran secara terus ke Malaysia dari negara pengeksport, namun pesanan dari negara pengeksport dibuat melalui Singapura. Mengapa pesanan dan transaksi pengimportan komoditi ini harus melalui negara jiran?

Mengapakah pesanan dan transaksi pengimportan komoditi ini harus melalui Singapura? Adakah ini faktor harga gandum di Malaysia lebih tinggi daripada harga gandum sedunia?

Agensi kerajaan manakah yang bertanggungjawab terhadap komoditi ini? Saya harap kerajaan atau agensi berkaitan dapat memantau situasi ini dan mengambil tindakan sewajarnya demi kebaikan negara kita.

SYED TARIQ AMRAN
Cheras Perdana