Bagi saya trend itu cukup membimbangkan kerana golongan ber­kenaan yang berusia antara 15 hingga 40 tahun adalah kumpulan terbesar pengguna internet di negara ini iaitu 77 peratus daripada lebih 24 juta orang.

Sebarang penyalahgunaan media sosial seperti penyebaran kandu­ngan lucah dan berunsur fitnah sudah tentu akan memberikan impak amat besar kepada penduduk negara ini.

Antara kesan buruk daripada penggunaan media sosial adalah merosakkan bahasa Melayu apabila belia lebih gemar menggunakan bahasa slanga yang menyimpang daripada kaedah sebutan dan tatabahasa standard.

Contoh penggunaan bahasa slanga yang popular sekarang adalah pishang (bosan), awek (kekasih) dan payung (belanja).

Bahasa slanga lebih digemari kerana bersifat santai dan kurang formal serta tidak memerlukan kepada penyusunan ayat kompleks atau penggunaan perbendaharaan kata yang tinggi.

Masa lama dihabiskan dengan media sosial menyebabkan belia terlalu kerap menggunakan bahasa slanga sehingga berasa janggal untuk bertutur dan menulis dengan bahasa Melayu formal termasuk ketika di sekolah dan pejabat.

Penggunaan bahasa slanga secara maksimum oleh belia boleh menumpulkan keupayaan mereka untuk bertutur menggunakan bahasa baku dan formal. Seterusnya, akan menyebabkan mereka kekurangan kosa kata berikutan sudah terbiasa menggunakan bahasa slanga dan ini akan memberi kesan terhadap kemahiran dalam penulisan ilmiah.

Secara tidak langsung, masalah itu akan mengancam kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara kita. Bagi saya isu ini adalah masalah terbaharu yang perlu dirunsingkan oleh golongan pencinta bahasa selain soal kegemaran mengutamakan bahasa Inggeris berbanding bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi.

Penularan bahasa slanga akan menyebabkan bahasa Melayu baku semakin terhakis dan merosot penggunaannya di tengah-tengah era kemodenan masa kini.

Dalam pada itu, seorang tokoh utama dalam bidang pengajian terjemahan, Profesor Peter Newmark dalam bukunya A Textbook of Translation pernah menulis bahawa budaya boleh ditakrifkan sebagai satu cara hidup khususnya kepada masyarakat yang menggunakan bahasa tertentu sebagai cara bersuara.

Menurut beliau, kaitan antara budaya dan bahasa itu tidak boleh dipisahkan. Penggunaan bahasa slanga dalam pertuturan dan penulisan seharian akan menyebabkan budaya sesuatu masyarakat berubah. Tidak mustahil budaya ketimuran yang diamalkan orang Melayu akan terhapus.

Bagi mengelak masalah ini menjadi semakin parah, saya berharap ibu bapa memantau penggunaan bahasa slanga dalam kalangan anak-anak supaya mereka dapat membezakan pertuturan dan penulisan tidak rasmi itu dengan penggunaan bahasa formal yang sepatutnya menjadi keutamaan.

Peranan ibu bapa adalah sangat penting kerana pembelajaran awal anak-anak bermula di rumah.

Sementara itu, ada sebahagian ibu bapa yang berpendapat tidak salah anak-anak mereka menggunakan bahasa slanga.

Bagi saya pendirian itu akan menyebabkan jurang komunikasi antara ibu bapa dan anak-anak menjadi semakin jauh apabila satu pihak menggunakan bahasa standard manakala yang satu lagi bertutur dan menulis dengan bahasa Melayu yang terlalu dimodenkan mengikut arus teknologi.

Sepatutnya, ketika asyik mengejar arus kemodenan teknologi, kita hendaklah bersama-sama menjaga bahasa kebangsaan supaya tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. Kalau bukan kita, siapa lagi?

NUR IZZATI OMAR

Universiti Sains Islam 
Malaysia (USIM)