Jika diperhalusi, ketetapan syarat dibuat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu dilihat masih sangat minimum kerana tidak menguji penguasaan bahasa itu sendiri. Sedangkan penggunaan bahasa kebangsaan sebagai alat komunikasi perpaduan harus dimartabatkan.

Justeru, sejajar keperluan Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan (Akta 32) 1963/67, kelayakan ditetapkan JPA ketika ini perlu diubah segera untuk melambangkan jati diri dan melonjakkan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi, ilmu dan alat integrasi kebangsaan.

Antara yang dicadangkan ialah hanya pegawai yang telah mencapai tahap kelulusan taraf kredit atau lebih tinggi serta menunjukkan penguasaan bahasa Melayu yang cemerlang layak untuk dipertimbangkan dalam perkhidmatan kerajaan.

Selain itu, pertimbangan kenaikan pangkat dan diberi tanggungjawab lebih mencabar dalam perkhidmatan kerajaan bagi mereka yang telah menunjukkan kebolehan luar biasa dalam penguasaan bahasa Melayu layak.

Bagaimanapun ketika ini terdapat bidang profesional tertentu untuk pelantikan secara kontrak diberi kelonggaran lulus subjek Bahasa Melayu dalam perkhidmatan kerajaan demi keperluan semasa latihan.

JPA wajar meneliti semula pencapaian bahasa Melayu bagi pelantikan baharu pegawai kerajaan termasuk pegawai lantikan secara kontrak kerana mereka melambangkan warganegara, jentera kerajaan dan negara.

Masyarakat perlu dididik mulai sekarang, kecuali bagi perkhidmatan yang amat mendesak, bahawa semua bakal penjawat awam termasuk jawatan kontrak perlu lebih awal bersedia untuk menguasai bahasa kebangsaan dengan baik.

Ini kerana majoriti mereka adalah rakyat Malaysia dan bahasa Melayu bukanlah perkara asing dalam kehidupan mereka sebelum ini. Bahasa Melayu di peringkat SPM adalah penanda aras penguasaan seseorang dalam aspek komunikasi dan penulisan. Sekiranya tidak berjaya dalam SPM mereka sukar untuk berurusan dengan masyarakat ketika berkhidmat kelak.

Kita sedar bahawa penjawat awam adalah barisan hadapan kerajaan untuk berkomunikasi dengan masyarakat. Jika mana-mana pegawai gagal berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Melayu bagaimana mungkin mereka dapat memberi perkhidmatan terbaik dan berkesan kepada rakyat dan negara.

Contohnya, dalam keadaan tertentu, salah faham komunikasi antara penjawat awam dan orang ramai boleh membawa kepada musibah dan kematian. Lebih daripada itu, maruah sesuatu bangsa itu terletak pada bahasanya.

Sehubungan itu, kita amat berharap pada masa depan individu yang tidak mempunyai sijil SPM dan gagal dalam Bahasa Melayu tidak boleh diterima langsung untuk berkhidmat dengan kerajaan termasuk secara kontrak dan perkara ini perlu dikaji semula.

Dalam menuju Transformasi Nasional 2050 (TN50), kita mahu melihat masyarakat kelas satu, di negara kelas pertama. Dalam kemajuan infrastruktur dan berbagai kemudahan dunia kelas pertama, kita mahu negara ini dihuni masyarakat kelas satu yang tahu menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa jambatan penyatuan ummah dalam pelbagai kumpulan masyarakat di samping kekal sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu.

Tidak dinafikan, kita sememangnya wajar menguasai bahasa lain terutama bahasa Inggeris sebagai keperluan untuk berhubung dengan dunia luar. Seperti mana negara Perancis, Jepun, Rusia dan China, mereka begitu berbangga dengan bahasa kebangsaan masing-masing.

Negara-negara terbabit meletakkan elemen patriotisme pada tahap tinggi apabila menjadikan penguasaan bahasa kebangsaan sebagai prasyarat penting dalam urusan membabitkan kepentingan negara seperti bidang perdagangan, perindustrian, perniagaan dan pendidikan sosial.

Begitupun, mereka juga tidak pandang rendah kepentingan bahasa lain khususnya bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi penting dunia dan bahasa ilmu. Langkah tersebut seharusnya dicontohi Malaysia.

DR. MUHAMMAD ARIF 
MOHD. HASHIM

Yang Dipertua Gabungan Ikhtisas dan Usahawan Bumiputera Anak Selangor (GIBS).