Bukan nak persoal isu tersebut, cuma saya tertanya-tanya jika agensi kerajaan seperti Mara tidak dibenarkan menaja pasukan bola sepak kerana dianggap ‘menggunakan wang rakyat’, bagaimana pula dengan pasukan UiTM FC yang kini bersaing di Liga Premier?

Saya juga ingin bertanya kewajaran penyertaan dua pasukan keselamatan negara iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut bersaing dalam Liga Malaysia dan dari mana sumber kewangan bagi pengurusan kedua-dua pasukan ini?

Jika kewangan pasukan bola sepak ATM dan PDRM yang kini juga bersaing di Liga Premier dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan menerusi kedua-dua kementerian berkaitan iaitu Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri, apakah tindakan tersebut wajar?

Saya faham jika kedua-dua pasukan bola sepak itu sudah menyertai Liga Malaysia sejak 1970-an dan ketika liga bola sepak negara masih bersifat amatur tetapi dalam kancah liga yang kini memasuki tahap profesional, masih adakah kewajaran penglibatan ATM dan PDRM dalam kejohanan ini?

Hal ini kerana dalam era bola sepak profesional sekarang, kos pengurusan sesebuah pasukan begitu tinggi sehingga mencecah jutaan ringgit untuk tempoh semusim. Alangkah baiknya jika peruntukan yang begitu besar itu disalurkan kepada kedua-dua agensi keselamatan terbabit bagi meningkatkan lagi tahap perkhidmatan mereka memandangkan ATM dan PDRM adalah nadi keamanan negara.

Kita bukannya mahu menghalang penglibatan ATM dan PDRM dalam Liga Malaysia tetapi cukup sekadar di peringkat Piala FAM yang tidak menggunakan khidmat pemain import manakala kos pengurusannya juga tidak terlalu tinggi. Lagi pula tiada satupun anggota ATM atau PDRM yang mewakili pasukan masing-masing pada masa kini.

Justeru, saya berharap FAM terutama presiden baharunya yang bakal dipilih bulan depan dapat mengkaji semula penglibatan kedua-dua pasukan keselamatan ini dalam Liga Malaysia agar peruntukan kerajaan dapat disalur bagi mempertingkatkan kualiti perkhidmatan kedua-dua agensi berkenaan.

PEMINAT BOLA

Ampang