Yang pasti, pengakuan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung perkara tersebut jelas menunjukkan isu berkenaan amat penting untuk disemak semula dan mesti dilihat secara lebih serius oleh semua pihak terlibat.

Dalam ucapan pembukaannya pada Perhimpunan Agung Tahunan Ke-42 Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam), Ahad lalu, Ahmad Zahid memaklumkan, jumlah penagih meningkat 14 peratus pada tahun lalu berbanding tahun sebelumnya manakala 58 peratus daripada banduan berada di penjara adalah dalam kalangan mereka yang melakukan kesalahan jenayah berkaitan dadah.

Apa pun Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dalam perkara ini amat menghargai keberanian Timbalan Perdana Menteri yang mengakui kegagalan tersebut. Namun seperti yang disebut oleh Ahmad Zahid dalam ucapan berkenaan kegagalan itu tidak akan mematahkan semangat kerajaan untuk terus memerangi gejala najis dadah, malah usaha tersebut akan dipertingkatkan lagi.

Saya secara konsisten tetap menyatakan bahawa usaha kita untuk membasmi dadah setakat ini tidak berjaya meskipun kerajaan menetapkan sasaran untuk menjadikan Malaysia bebas daripada najis itu pada tahun 2015 dan melibatkan peruntukan ratusan juta ringgit.

Kita perlu mengakui akan hakikat betapa sukarnya membebaskan Malaysia daripada najis dadah jika hendak dibandingkan usaha membanteras ancaman pengganas komunis sebelum ini.

Bukan hanya berhadapan dengan ancaman dadah tradisional seperti heroin dan morfin, pihak berkuasa kini juga perlu memberi perhatian khusus untuk membanteras penyalahgunaan dadah jenis perangsang amfetamin (ATS), yang juga dikenali sebagai dadah designer atau sintetik.

ATS adalah dadah perangsang antaranya seperti methamphetamine, ecstasy dan syabu. Semua jenis dadah ini digunakan secara meluas di kelab malam dan pusat hiburan untuk memberikan perasaan khayal kepada pengguna.

Paling membimbangkan bahan psikoaktif dalam dadah baharu itu dapat menghasilkan halusinasi yang lebih berbahaya. Mereka yang mengambilnya akan menjadi sangat aktif, agresif dan gila.

Mahu tidak mahu perlu mengkaji semula keberkesanan pendekatan dan strategi agensi-agensi kerajaan berkaitan dalam menangani masalah tersebut apatah lagi dengan wujudnya jenis dadah-dadah seumpama ini.

Seperkara lagi, kita juga mesti mengkaji keberkesanan hukuman mati bagi mereka yang disabitkan mengedar dadah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang sehingga kini hukuman tersebut gagal menghalang sepenuhnya aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah.

Dalam pada itu MCPF turut menyokong pelan strategik Kementerian Dalam Negeri untuk melaksanakan Dasar Dadah Kebangsaan yang mempunyai lima teras utama iaitu pencegahan, rawatan dan pemulihan, penguatkuasaan, kerjasama antarabangsa dan mitigasi.

Selain itu, kerajaan juga harus meneruskan rancangannya dengan mengguna pakai Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) agar pelaksanaan pelan strategik berkenaan turut menggabungkan tenaga lapan kementerian, agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Tidak terkecuali keperluan melancarkan kempen berimpak tinggi secara berterusan dalam usaha kita memerangi penyalahgunaan dadah.

Kempen itu perlu dilaksanakan di peringkat nasional, negeri dan daerah dengan melibatkan semua agensi kerajaan, NGO, majikan, pekerja, sekolah serta ibu bapa. Objektifnya adalah untuk memastikan setiap mesej mampu mencetuskan kesedaran masyarakat terutama belia.

Kita tidak boleh meninggalkan sebarang ruang yang boleh menggagalkan usaha tersebut. Usaha ini juga termasuk memperbaiki undang-undang sedia ada serta dan menambah baik kaedah penguatkuasaan.

Memandangkan kita gagal mencapai sasaran pada tahun 2015, kerajaan mesti menetapkan satu sasaran baharu. Melalui sasaran baharu tersebut semua pihak terlibat dapat menumpukan usaha, perancangan dan strategi bagi mencapai matlamat tersebut dalam tempoh ditetapkan.

TAN SRI LEE LAM THYE

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF)