Oleh kerana fenomena itu adalah perkara rutin setiap kali musim perayaan, maka Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi lain telah menyediakan pelan tindakan bagi mengawal lalu lintas di atas lebuh raya, jalan Persekutuan dan jalan negeri bagi mengatasi masalah kesesakan dan mengelak berlakunya kemalangan.

Antara langkah yang diambil adalah menurunkan had laju di semua jalan Persekutuan kepada 80 kilometer sejam (km/j) daripada had asal 90 km/j bermula 18 Jun lalu hingga Ahad ini.

Pihak berkuasa di negeri-negeri juga telah menurunkan had laju jalan negeri dari 80 km/j kepada 70 km/j.

Pada hemat saya langkah itu ada baik dan buruknya bergantung kepada kesesuaian kedudukan jalan.

Untuk menurunkan had laju di lebuh raya saya fikir itu tiada masalah kerana mempunyai dua lorong bagi setiap hala dan setengah kawasan melebihi dua lorong.

Namun berbeza dengan jalan Persekutuan dan negeri kerana kebanyakannya hanya mempunyai satu lorong bagi setiap hala.

Dengan peningkatan jumlah kenderaan ketika musim perayaan dan sikap negatif segelintir pemandu, kemungkinan untuk berlaku kemalangan adalah amat besar.

Ini kerana apabila had laju dikurangkan, pemandu yang berdisiplin akan patuh kepada arahan tersebut. Justeru mereka akan memandu secara berhemah dan perlahan mengikut had laju dibenarkan.

Berikutan jumlah kenderaan banyak, akan berlaku deretan kenderaan yang panjang bagi setiap hala.

Keadaan ini akan memberi impak kepada emosi pemandu. Bagi yang kurang sabar mereka akan bertindak memotong secara tidak berhemah dan berbahaya.

Sekiranya berlaku situasi sedemikian kebarangkalian berlaku kemalangan adalah sangat besar berikutan pertembungan dengan kenderaan dari arah bertentangan.

Kemalangan seperti itu sering berlaku khususnya sebelum wujud lebuh raya. Banyak kes nahas ngeri yang berpunca daripada pertembungan antara kenderaan yang penulis sendiri saksikan sejak mula memandu kereta pada 1972.

Selain faktor jalan raya, perubahan mekanikal kenderaan juga boleh menyebabkan kemalangan. Banyak pemandu cenderung untuk memecut kerana kuasa kuda enjin yang pada zaman dahulu antara 1.1 hingga 1.3 cc kini telah ditingkatkan kepada 2.0 cc.

Kemalangan juga selalu berlaku yang berpunca daripada pertembungan antara kenderaan kerana kereta sekarang kebanyakan menggunakan gear automatik yang lambat untuk memecut dengan pantas apabila memotong.

Oleh itu, pada pandangan saya langkah kerajaan mengurangkan had laju di jalan Persekutuan dan jalan negeri perlu dikaji semula. Malah jika boleh had laju sedia ada wajar dikekalkan.

Jika cadangan ini dianggap sudah terlambat, bolehlah pandangan ini diambil kira pada musim perayaan lain pada masa-masa akan datang.

SALLEH SAAD

Kedah