Secara jujurnya saya berasa amat kagum dengan watak dan keperibadian Tengku Puan Pahang apabila membaca keseluruhan wawancara tersebut. Meskipun berasal daripada keluarga diraja dan kemudian menjadi isteri kepada Pemangku Raja (Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah) Tunku Azizah langsung tidak menjadikan statusnya itu sebagai penghalang kepada baginda untuk bersama-sama rakyat jelata ketika susah mahupun senang.

Malah kedudukan itu dijadikan sebagai satu kelebihan untuk memudahkan Tengku Puan Pahang serta anak-anak baginda bergerak ke mana-mana lokasi dalam usaha mengurangkan penderitaan mereka yang menjadi mangsa.

Sebenarnya agak lama juga saya mengikuti perkembangan Tengku Puan Pahang walaupun saya bukan berasal dari negeri berkenaan terutama tentang sifat prihatin yang ada pada baginda. Sebahagian besar maklumat diperoleh hasil pembacaan saya di akhbar dan beberapa sumber pembacaan yang lain. Saya amat berminat dengan kerja-kerja kesukarelaan yang dilakukan oleh Tengku Puan Pahang.

Apa yang boleh saya simpulkan baginda benar-benar seorang puteri yang amat mementingkan kebajikan rakyatnya dan fakta ini perlu kita akui. Oleh itu, sikap mulia yang seperti ini seharusnya menjadi ikutan oleh sesiapa sahaja.

Jangan kata tidak boleh kerana Tengku Puan Pahang telah berjaya membuktikan bahawa keluarga raja juga boleh turun padang bertemu dengan rakyat terutama ketika mereka benar-benar memerlukan pertolongan.

Contoh terbaik ialah ketika berlakunya banjir. Boleh dikatakan setiap kali berlaku banjir di Pahang, Tengku Puan Pahang bersama anak-anak baginda tidak pernah ketinggalan untuk ke pusat-pusat pemindahan sementara seluruh negeri.

Bukan calang-calang orang sanggup berbuat demikian. Ini kerana untuk ke pusat pemindahan sementara kita terpaksa menaiki bot atau kenderaan berat memandangkan kebanyakan jalan utama telah ditenggelami air. Perjalanan ke lokasi tersebut amat berisiko.

Saya sendiri pernah melalui pengalaman tersebut ketika menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Kelantan. Memang kerja ini amat mencabar lebih-lebih lagi sekiranya hujan masih belum berhenti.

Sebab itu, saya amat mengagumi Tengku Puan Pahang yang sanggup mengambil risiko semata-mata mahu bersama rakyat Pahang yang menjadi mangsa. Di samping komitmen Tengku Puan Pahang terhadap kerja-kerja kesukarelaan saya juga amat tertarik dengan cara didikannya terhadap anak-anak baginda.

Walaupun berketurunan raja, Tengku Puan Pahang tetap menyuruh anak-anaknya melakukan kerja-kerja rumah serta masuk ke dapur. Bayangkan anak raja pun perlu masuk dapur serta membuat kerja-kerja rumah apatah lagi anak-anak rakyat kebanyakan. Saya percaya ada sebab Tengku Puan Pahang menyuruh anak-anaknya berbuat demikian.

Justeru tidak hairanlah anak-anak Tengku Puan Pahang tidak merasa kekok untuk membantu bonda mereka meringankan beban mangsa-mangsa banjir setiap kali berkenan melawat pusat penempatan sementara.

Kepakaran Tunku Azizah memasak juga membuat saya memandang tinggi kepada baginda. Bukannya masak untuk seorang atau dua orang tetapi untuk semua mangsa yang berada di penempatan banjir. Kalau di kampung masak seperti mahu mengadakan kenduri.

Begitu juga kejadian tiga orang kanak-kanak mati lemas di takungan bauksit baru-baru ini yang turut mendapat perhatian baginda. Dengan mengetepikan gelaran dan protokol, Tunku Azizah melawat keluarga mangsa di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bersama-sama berkongsi kesedihan dengan mereka.

Saya percaya kehadiran baginda itu sedikit sebanyak meredakan kesedihan keluarga mangsa yang kehilangan anak dalam sekelip mata. Sesungguhnya rakyat Pahang amat bertuah kerana mempunyai puteri yang amat peka dan prihatin.

ALONG

Seremban 2