Rakyat Malaysia umumnya sudah menjangkakan beberapa perkara seperti pengurangan cukai individu, bantuan khas untuk kakitangan awam dan beberapa insentif lain.

Namun, ramai tidak menyangka Perdana Menteri begitu ‘berani’ memansuhkan empat tol secara serentak di tiga buah negeri, dua daripadanya di negeri yang dipegang pembangkang.

Itu pun masih ada wakil rakyat pembangkang cuba ‘menyelit’ kononnya perjuangan mereka yang ‘memaksa’ Kerajaan Pusat mansuhkan tol tersebut sedangkan tol yang mereka janji mahu mansuhkan di Pulau Pinang makin meningkat kadar bayarannya.

Perdana Menteri begitu bijak secara tersirat menyindir manusia yang hanya tahu membuat janji dan ‘bajet air liur’ sedangkan yang di negeri mereka pegang juga masih mengharapkan sumbangan Kerajaan Pusat.

Lebih daripada itu, Perdana Menteri memberi sesuatu yang tidak disangka khususnya tambahan cuti bersalin kepada 90 hari, inisiatif pusat asuhan kanak-kanak di tempat kerja malah penjawat awam wanita yang mengandung lima bulan ke atas dibenarkan pulang awal sejam.

Suami yang bekerja kerajaan juga dibenarkan pulang awal jika bekerja di lokasi berdekatan dengan isteri yang sarat mengandung.

Tidak lupa juga langkah mengambil amah secara terus yang dijangka dapat mengurangkan sehingga 50 peratus kos mendapatkan orang gaji, satu lagi pendekatan berasaskan kehendak rakyat dan bukannya ‘pelobi’ politik.

Malah cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang sebelum ini dihebahkan bakal meningkat atau ditambah kepada beberapa produk dan perkhidmatan lain, sebaliknya diberi pengecualian pula kepada bahan bacaan, pembinaan sekolah dan rumah ibadat serta perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Perkara-perkara yang diumumkan itu mungkin kelihatan remeh bagi sesetengah ahli politik yang kaya-raya tetapi bagi rakyat biasa sangat besar nilainya.

Tumpuan Perdana Menteri kepada wanita mengandung dan pusat asuhan kanak-kanak di tempat kerja sungguh mengagumkan kerana menunjukkan keprihatinan beliau terhadap konsep ‘bekerja untuk hidup’ iaitu mengutamakan keluarga.

Majikan yang hanya memikirkan mengenai keuntungan atau ‘hidup untuk bekerja’ mungkin membantah tetapi saya yakin langkah kerajaan memudahkan wanita mengandung bekerja malah menempatkan pusat asuhan di tempat kerja akan meningkatkan prestasi dan komitmen pekerja.

Ibu bapa tidak perlu lagi memilih antara anak atau kerja dan waktu lapang boleh dihabiskan bersama anak di pusat asuhan daripada merayau-rayau di kedai makan atau pusat beli-belah.

Secara umumnya pengumuman yang bukan berasaskan duit itu lebih besar nilainya bagi rakyat biasa seperti saya kerana nikmat meluangkan lebih banyak masa bersama anak-anak melangkaui keghairahan mendapat ‘duit terpijak’.

Sesungguhnya peruntukan yang memudahkan hidup rakyat itu jauh lebih penting dan bermakna.

Warga emas, orang kurang upaya (OKU), pesara, pesawah, pelajar malah anak yang baru lahir juga ada peruntukan di samping Tok Batin dan ketua kampung, guru KAFA, imam, bilal dan siak.

Semoga bajet berasaskan keperluan rakyat ini diteruskan Perdana Menteri untuk tahun-tahun akan datang dan dijauhkan daripada golongan manusia yang hanya mahu menjaga poket sendiri atau ‘pelobi’ politik mereka.

ANAK MALAYSIA

Shah Alam, Selangor