Peladang di Kawasan Muda mula menggunakan kaedah tabur terus padi sejak tahun 1980 bagi menggantikan kaedah mencedung yang digunakan sebelum itu. Ini kerana berlaku senario kekurangan tenaga kerja yang meruncing ketika itu bagi menjalankan kerja-kerja mencedung.

Perubahan teknologi penanaman padi ini turut melibatkan perubahan teknologi pengurusan tanaman benih, amalan agronomi, perlindungan tanaman, mekanisasi ladang serta pengurusan pengairan dan saliran yang bertujuan meningkatkan pengeluaran hasil padi serta menambahkan pendapatan peladang.

Ini adalah hasil kajian berterusan daripada pelbagai agensi kerajaan khasnya Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI). Hakikatnya, sejak dari tahun 1980 pengeluaran padi di Kawasan Muda telah meningkat daripada purata 4.5 tan sehektar kepada 6.5 tan sehektar pada musim 1/2015.

Hasil pengeluaran padi ini adalah lebih tinggi berbanding kaedah mencedung yang dijalankan sehingga tahun 1970-an. Pada masa itu hasil yang dikeluarkan cuma 3.5 tan hingga 4.0 tan sehektar.

Kaedah tabur terus juga dapat mengekalkan kepadatan tanaman yang tinggi selain dapat mengurangkan tenaga buruh. Seterusnya dapat meningkatkan hasil padi sekitar lima hingga enam tan per hektar dengan nilai pengeluaran sebanyak hampir satu juta metrik tan setahun pada 2015.

Melalui kaedah tabur terus, serangan perosak dan penyakit di Kawasan Muda semakin berkurangan sehingga 20 peratus pada tahun 2015. Kerajaan juga sentiasa komited untuk menambah baik sistem pengairan dan saliran di kawasan sawah padi khasnya di Kawasan Muda.

Dalam program Bidang Keberhasilan Ekonomi Negara (NKEA) EPP10 yang bermula pada tahun 2011, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM2.2 bilion untuk meningkatkan kepadatan infrastruktur daripada 11 meter kepada 30 meter per hektar di 128 blok pengairan melibatkan kawasan seluas 61,569 hektar.

Pembangunan ini adalah bertujuan melancarkan lagi proses pengairan dan saliran air ke petak sawah. MADA sentiasa komited untuk meneruskan usaha membimbing peladang menjalankan amalan pertanian baik bagi mencapai visi dan misi untuk meningkatkan pengeluaran padi negara dan sekali gus menambahkan lagi pendapatan peladang.

DATUK FOUZI ALI,
Pengurus Besar MADA