Ini khususnya bagi warga tempatan yang menerima kadar gaji berkenaan di Semenanjung Malaysia yang terpaksa menghadapi kadar kos hidup yang lebih tinggi berbanding di Sabah dan Sarawak.

Pada masa sama, kerajaan harus memastikan penetapan kadar gaji minimum yang baharu diumumkan serta yang bakal diumumkan di tahun–tahun akan datang memberi manfaat khusus kepada pekerja tempatan dan bukannya pekerja asing yang dilihat banyak mendominasi sektor pekerjaan bergaji rendah dalam negara kita.

Kerajaan juga harus memastikan kadar penyelarasan gaji minimum yang dilakukan di seluruh negara mengambil kira suasana dan keadaan persekitaran tempat seseorang itu bekerja terutamanya lokasi kerja, keupayaan pihak majikan membayar gaji berkenaan serta menjalankan proses kajian yang terperinci mengenai perkara ini sebelum keputusan akhir diputuskan.

Adalah menjadi kebimbangan pengumuman penyelarasan gaji minimum seluruh negara yang dibuat ini juga tidak menepati peruntukkan undang–undang di bawah Seksyen 4 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 [Akta 732] yang jelas memperuntukkan bahawa peranan yang harus dimainkan oleh Majlis Perundingan Gaji Negara, iaitu:

(a) menasihati kerajaan tentang semua perkara yang berhubungan dengan gaji minimum termasuk perkembangannya di peringkat antarabangsa;

(b) membuat syor kepada kerajaan tentang kadar dan liputan gaji minimum mengikut sektor, jenis pekerjaan dan kawasan wilayah, dan perkara-perkara lain yang berhubungan dengan gaji minimum dan gaji;

(c) membuat rundingan dengan orang awam tentang kadar dan liputan gaji minimum;

(d) mengumpul dan menganalisis data dan maklumat dan menjalankan kajian tentang gaji dan petunjuk sosioekonomi;

(e) menyelaras dan menyelia, serta menilai impak, pelaksanaan gaji minimum;

(f) mengkaji semula perintah gaji minimum;

(g) menimbang teliti tentang semua perkara yang berhubungan dengan gaji minimum;

(h) menyebarkan maklumat dan analisis tentang gaji; dan

(i) menjalankan apa-apa fungsi lain yang difikirkannya patut untuk membolehkannya melaksanakan fungsinya dengan berkesan atau yang bersampingan dengan pelaksanaan fungsinya.

Pelarasan gaji minimum yang baru dibuat ini akan dilaksanakan di seluruh negara bermula 1 Januari tahun hadapan. Ianya telah diumumkan Pejabat Perdana Menteri dengan menetapkan kadar gaji minimum RM1,050 sebulan atau RM5.05 sejam.

Pada masa ini, kadar gaji minimum adalah RM1,000 sebulan di Semenanjung dan RM920 sebulan di Sabah, Sarawak dan Labuan. Penetapan kadar gaji baru ini selaras dengan kehendak Seksyen 25 (1) Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 [Akta 732] yang menetapkan kadar gaji minimum dalam negara kita dikaji sekurang-kurangnya sekali dalam tiap-tiap dua tahun.

Sebarang proses penetapan kadar gaji minimum perlu mengambil kira pandangan orang ramai, serta badan–badan yang berkaitan mewakili pihak pekerja dan majikan seperti pihak Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC) dan Persekutuan Majikan–Majikan Malaysia (MEF).

Dr. Muzaffar 
Syah Mallow

USIM