Sewaktu menawarkan pelan pascabayar serendah RM8 sebulan itu, mereka langsung tidak memberitahu caj wajib bulanan yang perlu dibayar dan kontrak setahun yang perlu dipatuhi.

Akibatnya, kira-kira 10 orang guru terpedaya dan termakan dengan janji manis serta terus bersetuju mengambil pelan berkenaan. Langsung tiada resit atau kontrak pembelian yang diberikan. Kami hanya sedar selepas dipaksa membayar RM240.00 termasuk caj penalti kerana menamatkan perkhidmatan sebelum kontrak habis.

Saya langsung tidak pernah menggunakan kad sim itu selepas membelinya kerana sudah memiliki kad sim yang lain dan notis tunggakan pertama telah diterima melalui kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) selepas empat bulan dari tarikh pembelian.

Asalnya saya membiarkan sahaja tuntutan mereka kerana berasa geram. Lagipun saya tidak pernah menggunakan perkhidmatan ini. Namun awal Mac tahun ini saya dihubungi oleh pihak peguam (orang ketiga) supaya melunaskan jumlah bayaran tertunggak termasuk caj penalti.

Saya kemudian akur dengan tuntutan ini atas kelalaian sendiri dan pada masa sama kesal atas sikap tidak jujur jurujual berkenaan. Saya akhirnya membayar juga jumlah berkenaan.

Untuk makluman saya juga telah berkali-kali menghubungi pusat khidmat pelanggan Red One pada 4 Mac lalu (waktu tengah hari) namun panggilan langsung tidak dapat dihubungkan dengan mana-mana pegawai. Sedangkan, jelas tertera di laman web mereka yang mana pelanggan boleh membuat panggilan selama tujuh hari seminggu bermula 7 pagi hingga 12 malam.

Sehingga sekarang, saya masih belum mengetahui butiran lengkap mengenai tunggakan berkenaan.

USTAZAH KECEWA,

Batu 14, Hulu Langat