Pasukan Harimau Malaya tewas kepada Vietnam dalam saingan Piala AFF Suzuki 2018, namun kita harus berbangga dengan kejayaan bagaikan wira walaupun tidak berjaya membawa pulang piala selepas tumpas menerusi agregat 2-3 kepada Vietnam di pentas akhir, baru-baru ini.

Dua berita sukan di penghujung 2018 boleh dijadikan penyuntik semangat bagi sesiapa sahaja untuk meraih kejayaan demi kejayaan, benarkah ini?

Semua orang tentunya akan gembira apabila berjaya mencapai sesuatu matlamat, sering ingin menjadi juara atau berada di tempat teratas atau pertama tetapi ternyata, berada di tempat kedua mungkin bukan satu alternatif yang buruk. Malah, ia boleh membantu anda hidup lebih lama.

Menurut kajian University of Virginia dalam Journal of Health Economics, pemenang pingat perak Olimpik cenderung hidup lebih lama dan memperoleh pendapatan lebih banyak daripada pemenang emas.

Para penyelidik membandingkan taraf kehidupan antara para pemenang emas dan perak sukan trek dan padang Olimpik antara 1896 dan 1948 dan mendapati terdapat trend gemilang hasil kewangan para atlet yang diperhatikan.

Kajian itu mendapati bahawa separuh daripada pemenang pingat perak masih hidup sehingga umur 80 tahun, berbanding hanya satu pertiga daripada atlet pemenang emas.

Mereka juga mendapati atlet tempat kedua memohon pekerjaan bergaji tinggi selepas Olimpik, sementara pemenang tempat pertama hanya memohon pekerjaan yang rendah pembiayaan.

Penyelidik Adam Leive mendapati, pemenang pertama dan kedua Olimpik adalah tidak begitu berbeza dari segi fizikal dan neurologi, dan para pemenang pingat perak lebih berjaya selepas karier Olimpik, dan mungkin menyumbang kepada jangka hayat lebih lama.

Jelas Leive, terlalu mengejar kemenangan boleh membahayakan kesihatan. Masa yang ditumpu dan dihabiskan untuk berlatih dan bertanding mungkin memberi kesan kepada tenaga kesihatan.

Beliau juga mengatakan bahawa selepas usaha untuk memenangi pingat emas, para atlet tidak begitu bermotivasi untuk mencari lebih banyak kejayaan dan menjaga diri mereka sendiri.

Walaupun kita cenderung dan percaya bahawa kejayaan dalam karier akan membantu masa hadapan, dalam kes ini memenangi tempat pertama sebenarnya boleh menghalang trajektori selepas menang.

Sementara kita masih merancang untuk mencapai matlamat tinggi, penemuan kajian ini berfungsi sebagai peringatan bahawa jika masih berada di tempat kedua atau tidak menang kejuaraan, anda tidak perlu terlalu bekerja keras untuk diri sendiri.

Akhirnya, apa yang anda lakukan selepas kejayaan atau kegagalan, ia lebih baik daripada hasilnya sendiri.

AZIZI AHMAD

Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa