Belum sempat orang ramai melupakan tarian tudung disko, muncul pula promosi produk untuk ‘tambah ketinggian’ seolah-olah usia, jantina, warisan genetik dan lain-lain faktor tidak memainkan peranan menentukan ciri-ciri fizikal badan.

Saya faham menjadi duta produk adalah satu bentuk pendapatan besar bagi golongan artis malah ada yang menggunakan populariti diri untuk memperkenalkan produk mahupun jenama baharu kepada rakyat Malaysia.

Namun, saya harap golongan artis tidak melampaui batas mempromosikan produk dengan pelbagai dakwaan dangkal yang bukan sahaja akan mengelirukan pengguna malah boleh dianggap sebagai satu penipuan nyata.

Dalam kes artis yang dimaksudkan di sini, jelas sekali dia tiada latar belakang sains yang mencukupi untuk faham tahap keberkesanan mahupun bagaimana produk dipromosikannya itu berfungsi.

Bila ditegur golongan cerdik pandai, boleh pula sentap malah beberapa orang lagi artis suam kuku turut cuba mempertahankan produk tersebut.

Saya sarankan persatuan-persatuan artis dan dunia hiburan memantau malah menegur perbuatan tidak cerdik sebegini, mempromosikan sesuatu yang tidak terbukti secara saintifik dengan hanya bersandarkan kepada ‘testimoni’ beberapa individu.

Bila terbukti berlaku penipuan atau cubaan mengelirukan pengguna oleh pihak pengeluar produk, akhirnya semua anak seni Malaysia akan terpalit sama disebabkan seorang dua cuba mencari pendapatan mudah sebagai ‘duta’.

Tolonglah jaga juga maruah sebagai orang Islam, Melayu malah sebagai wanita daripada ‘menjual diri’ kepada peniaga yang meragukan sedangkan artis itu tidak menggunakan pun produk tersebut.

Jangan lupa kisah yang sama melibatkan rawatan ozon dahulu yang dipromosikan beberapa orang artis sebelum akhirnya diharamkan Kementerian Kesihatan.

Mungkin lebih mudah sekiranya Kementerian Kesihatan mengeluarkan kenyataan ataupun garis panduan jelas bagi mengawal selia aktiviti duta produk oleh golongan artis khususnya makanan, minuman atau apa sahaja yang meninggalkan kesan kepada tahap kesihatan badan.

BEKAS PEMINAT

Kuala Lumpur