Pembekalan air mentah telah berlangsung selama 93 tahun dan kontrak itu hanya akan tamat pada 2061. Perbalahan kerap-kali berlaku semenjak zaman kerajaan terdahulu, namun Singapura sering mengelak sebarang perbincangan dan kurang bersedia untuk merundingkan semula harga air mentah. Kononnya, harga pembekalan air mentah itu cuma wajar dirundingkan semula apabila kontrak itu tamat tempohnya nanti.

Di samping itu, Malaysia dilaporkan membeli semula sebahagian air yang siap diproses oleh Singapura pada kadar 50 sen setiap 1,000 gelen untuk kegunaan tempatan dan Singapura sendiri kekurangan sumber air mentah di pulau tersebut. Penggunaan air paip di republik itu mencecah dua juta meter padu sehari dan 50 peratus daripada jumlah air yang digunakan setiap hari di Singapura adalah dari Malaysia.

Kerajaan Singapura amat menyedari kebergantungan mereka terhadap sumber air tersebut, maka melabur sejumlah besar dalam projek kitar semula air sisa mereka. Kos menghasilkan ‘air baharu’ itu sangat tinggi dan kualitinya tidak sebaik air mentah dari Malaysia, namun Singapura tetap melaksanakannya atas pertimbangan menjaga keselamatan negara itu.

Singapura juga berjaya memproses air laut untuk dijadikan air minuman sebagai persediaan untuk masa depan.

Kini, harga air paip yang dibayar oleh rakyat Singapura ialah RM7.70 per meter padu sedangkan air mentah Malaysia dieksport pada kadar harga RM0.0079 per meter padu, satu meter padu air mentah dari Malaysia dijual tidak sampai satu sen.

Dalam lain perkataan, Singapura dituduh membuat keuntungan tidak normal sebanyak 975 kali ganda daripada harga asal air mentah Malaysia.

Mengikut formula harga hadapan PV=RM 0.03 (1 + 3.5 peratus)n, di mana dalam kes ini harga asal ialah tiga sen dan n ialah jumlah tahun kontrak yang telah berjalan dan kadar bunga 3.5 peratus setahun diandaikan untuk memerangi inflasi. Angka n = 93 ialah 93 tahun, maka harga air mentah yang diperoleh ialah RM0.735 per 1,000 gelen. Dalam perkataan lain, harga air mentah yang berpatutan pada 2019 sekurang-kurangnya ialah RM0.74 per 1,000 gelen.

Huraian di atas menunjukkan betapa harga air mentah yang ditawarkan kepada Singapura itu amat tidak berpatutan dan perlu segera dirundingkan semula.

Kita harus memelihara sumber kekayaan air mentah negara sebaik-baiknya agar pembekalan sumber itu sentiasa berterusan. Diharapkan di bawah pimpinan kerajaan Pakatan Harapan, isu air mentah dijual pada harga murah ke Singapura dapat dibentang untuk penyelesaian terbaik oleh pemimpin-pemimpin kedua-dua negara.

YOKSHINOYA

Kuala Lumpur