Setiap hari saya menggunakan laluan tersebut yang terkenal dengan kesibukan, kesesakan dan banyak kenderaan berat.

Saya dapati mereka yang kebanyakannya golongan pemuda dan remaja bawah umur tidak langsung membawa, apatah lagi memakai topi keledar.

Mereka juga menunggang motosikal secara berbahaya termasuk berlumba dan ‘cilok-mencilok’ sesama sendiri terutama pada waktu malam.

Hampir setiap hari terutama pada waktu malam saya menyaksikan perbuatan menunggang motosikal secara laju tanpa memakai topi keledar di laluan tersebut.

Di kawasan Saujana Utama pula, saya dapati ramai ibu bapa membiarkan anak-anak mereka termasuk yang masih bersekolah rendah menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar, membonceng rakan-rakan sebaya bersiar-siar di kawasan ini secara lepas bebas dan tanpa rasa takut sedikitpun.

Ini kerana tidak ada tindakan penguatkuasaan secara berterusan sama ada di pihak polis mahupun JPJ.

Perbuatan menunggang, membonceng motosikal secara berbahaya tanpa memakai topi keledar bukan sahaja membahayakan diri sendiri tetapi juga membahayakan pengguna jalan raya lain.

Saya berharap sangat agar pihak berkuasa dapat mengambil tindakan tegas dalam waktu terdekat bagi mencegah dan menghentikan perbuatan ini yang dilihat sudah berleluasa sejak sekian lama.

PAK HAJI KAPCAI

Hill Park, Selangor