Berdasarkan pengalaman saya pada musim Aidilfitri tahun lalu, banyak syarikat bas ekspres yang mengumpan pengguna dengan promosi kemudahan tambahan yang disediakan di dalam bas mereka kononnya untuk keselesaan penumpang.

Taktik yang kerap digunakan sebagai ‘umpan’ adalah menawarkan bas yang mempunyai wifi, soket pengecas telefon (USB) dan hiburan dalam perjalanan (onboard entertainment) dengan skrin LCD bagi setiap tempat duduk.

Malangnya apabila sudah menaiki bas, segala kemudahan itu langsung tidak wujud. Malahan lampu membaca yang terdapat di bahagian atas ruang penumpang juga, dinyahfungsikan oleh pemandu agar tidak dihidupkan oleh penumpang.

Kini musim Aidifitri tiba lagi, taktik yang sama digunakan oleh pengusaha bas ekspres melalui poster atau sticker yang terdapat pada bas mereka dan di kaunter jualan tiket seluruh negara (kecuali di Terminal Bersepadu Selatan yang menggunakan sistem tiket berpusat).

Memang kemudahan itu bukanlah kewajipan yang ditetapkan oleh JPJ kepada setiap bas ekspres, tetapi jika fasiliti itu dijadikan bahan promosi ketika penjualan tiket, bererti suatu kontrak sudah termaktub di antara pengusaha bas dan penumpang yang membeli tiket tersebut.

Tambahan pula penumpang perjalanan jauh antara tujuh hingga 12 jam, fasiliti yang dijanjikan itu akan mempengaruhi mereka membuat keputusan memilih bas yang mana untuk dinaiki.

Justeru, JPJ wajar menghapuskan segera promosi ‘kemudahan palsu’ tersebut manakala KPDNKK wajar mengambil tindakan undang-undang ke atas syarikat bas yang telah pun mengaut keuntungan berdasarkan taktik promosi yang memperdaya pengguna.

SISWAZAH DESA

Changlon, Kedah