Namun begitu, kita yakin SPR mungkin ada asas yang kukuh dalam meletakkan sasaran berkenaan. Sama ada sasaran itu dapat dicapai atau sebaliknya, ia bergantung kepada beberapa faktor dan keadaan tertentu.

Antaranya ialah kesedaran pengundi itu sendiri terhadap peranan mereka dalam sistem demokrasi serta tanggungjawab di samping semangat untuk memperkukuhkan pengaruh parti yang didukung.

Elemen-elemen ini mungkin telah sedia wujud dalam diri sesetengah pengundi, lebih-lebih lagi mereka yang menjadi ahli dan penyokong tegar sesebuah parti politik.

Namun demikian, aktiviti kempen keluar mengundi perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa dalam tempoh berkempen terutama dua tiga hari sebelum hari mengundi. Ia boleh dibuat parti-parti terlibat, media massa dan lain-lain medium yang sesuai.

Selain itu, berasaskan pemerhatian sebelum ini, faktor penyediaan logistik dan seumpamanya yang tidak mencukupi untuk sesetengah kawasan juga boleh menyumbang kepada perasaan tawar hati sebahagian pengundi untuk keluar mengundi. Oleh itu aspek ini juga harus diberi perhatian.

Manakala di sisi lain pula, pengundi sendiri harus mengambil pendekatan positif dengan cara menganggap mengundi untuk memilih wakil rakyat itu amat penting demi menyuarakan hasrat dan hak mereka di Dewan Rakyat.

Dalam konteks ini, sekiranya semasa tempoh berkempen itu semua pihak dapat meyakinkan pengundi-pengundi khususnya penyokong parti sendiri atau lebih daripada itu, kumpulan yang sebelumnya tidak memihak kepada mana-mana atau golongan atas pagar, maka dipercayai sikap pengundi akan berubah dan memberi mereka semangat untuk keluar mengundi.

Semoga dengan adanya usaha dan kesungguhan pihak terlibat dengan aktiviti kempen mampu membina semangat untuk mengundi.

Ini disertakan pula dengan komitmen tinggi oleh para pengundi terhadap pentingnya turun mengundi, baik dalam pilihan raya umum yang memungkinkan pembentukan kerajaan mahupun PRK yang sekadar menambah jumlah kerusi atau mengekalkan sedia ada.

SALLEH SAAD

Kedah.