ISU mengenai cadangan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menandatangani Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) kian hangat diperkatakan pelbagai pihak di negara ini.

Perkara ini tercetus ekoran kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy bahawa Kerajaan PH akan meratifikasi ICERD pada suku pertama awal tahun hadapan.

Biarpun begitu, sehingga ke hari ini Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian dan kerajaan negeri masih tidak menyatakan pendirian mereka terhadap isu ini.

Seperti kita tahu, pelbagai pihak sudah menyatakan pendirian menolak ratifikasi ICERD. Antaranya Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.

Persoalannya, rakyat Johor ingin tahu apakah pendirian Menteri Besar Johor dan kerajaan negeri mengenai ratifikasi ICERD? Menyokong atau menolak? Kita sedia maklum sudah berpuluh tahun lamanya Kerajaan Barisan Nasional (BN) enggan menandatangani ratifikasi ICERD.

Jadi, jika benar Kerajaan PH bersetuju meratifikasi ICERD, tidak mustahil peranan raja-raja Melayu, kedudukan agama Islam dan hak istimewa orang-orang Melayu serta pribumi Sabah dan Sarawak akan tergugat kelak.

Malah isu ini boleh mengubah struktur dan acuan negara seandainya masih dipandang sepi pemimpin dan rakyat. Osman adalah Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Negeri Johor yang kononnya memperjuangkan nasib pribumi tetapi adakah beliau benar-benar faham maksud ‘pribumi’?

Sepatutnya beliau lebih faham dan cakna tentang maksud ‘pribumi’ dan selaku Presiden PPBM Johor perlu mempertahankan hak-hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera khususnya di Johor, secara tidak langsung menolak ratifikasi ini.

Sebagai pemimpin dan wakil kepada rakyat negeri Johor, Osman perlu berani menyatakan pendirian berkaitan ratifikasi ICERD dan bukan berdiam diri seolah-olah bersetuju dengan apa sahaja keputusan Kerajaan Pusat.

Setidak-tidaknya maklumkan kepada rakyat Johor agar kami sedia maklum pendirian Menteri Besar dan kerajaan negeri dalam isu yang kian meruncingkan ini. Osman juga perlu sentiasa beringat akan titah Sultan Johor bahawa baginda mahukan ‘Johor sentiasa kekal sebagai Johor’.

Negeri Johor perlu ada pendirian tersendiri mengenai ratifikasi ICERD kerana ini berkait rapat juga dengan untung nasib rakyat Johor pada masa hadapan.

DHIA HANI

Persatuan Pemikir Muda Johor