Tentang cita-citanya untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, saya yakin Jin Wei mampu melakukannya berdasarkan kepada prestasi semasa. Yang penting pihak Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang diterajui oleh Presidennya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria perlu memberikan latihan secukupnya kepada Jin Wei.

Seperkara lagi, Jin Wei perlu didedahkan dengan kejohanan-kejohanan utama dunia bermula tahun depan agar dia berada pada kelompok pemain terbaik. Selepas ini Jin Wei akan bersaing di peringkat senior dan sudah tentu cabarannya adalah lebih hebat lagi.

Dia akan bertemu dengan jaguh-jaguh wanita dari Taiwan, China, Jepun, Thailand, Sepanyol, India dan Korea Selatan antaranya seperti Tai Tzu Ying, Akane Yamaguchi, Chen Yufei, P.V Sindhu, Carolina Marin dan Ratchanok Intanon.

Mereka ini adalah antara pemain yang berada dalam kelompok 10 pemain terbaik ketika ini. Apa pun saya percaya jika Jei Wei diberikan latihan serta pendedahan, dia mampu melakar satu sejarah buat sukan badminton wanita negara.

PEMINAT MISBUN

Kuala Pilah