Selaraskan pentadbiran semua PBT di negara ini dan jangan ada lagi setiap satu mempunyai urustadbir sendiri walaupun di bawah kerajaan negeri.

Kalau diperhatikan, setiap PBT tidak mempunyai pengurusan yang sama dalam mengendalikan Undang-undang Kecil di mana masing-masing membuat pindaannya sendiri mengikut keperluan di bawah pentadbiran masing-masing.

Malah ada yang masih lagi menggunakan Undang-Undang Kecil Kerajaan Tempatan yang lapuk dan tidak lagi bersesuaian dengan peredaran masa.

Undang-Undang Kecil perniagaan, penjaja, pasar dan taman perumahan umpamanya masih menggunakan akta pada tahun-tahun 1970-an atau 1980-an yang dianggap sudah tidak relevan.

Sudah sampai masanya semua PBT diselaraskan dan ditadbirkan terus di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan bukan lagi di bawah kerajaan negeri masing-masing sebagaimana dipraktikkan sekarang.

Ini kerana didapati ada kelemahan dan pentadbiran tidak dapat diuruskan dengan baik apabila setiap PBT mempunyai perundangan sendiri.

Begitu juga pengambilan pegawai-pegawai dan kakitangannya hendaklah diuruskan sepenuhnya oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan bukannya ditemuduga oleh PBT berkenaan kerana selalunya yang akan terpilih adalah orang-orang tertentu sahaja.

Ini terutamanya mereka yang ada kaitan kekeluargaan dengan pegawai-pegawai atau kakitangan jabatan itu sendiri.

Untuk menaikkan taraf serta menghindar daripada penyalahgunaan kuasa termasuk berlakunya rasuah, semua PBT sepatutnya tidak lagi dijadikan jabatan tertutup tetapi hendaklah berperanan sebagaimana jabatan-jabatan lain.

Pegawai-pegawai dan kakitangannya akan ditukarkan apabila diarahkan dan bukan bertugas di satu pejabat sahaja sampai bersara sebagaimana dipraktikkan sekarang.

Begitu juga lantikan untuk Datuk Bandar untuk bandar raya atau Yang Dipertua untuk majlis perbandaran serta ahli-ahli majlis hendaklah terdiri daripada kalangan profesional yang ada kaitan dengan tugas diamanahkan.

Tidak perlu sangatlah orang politik kalau tidak layak untuk dilantik. Lagipun kita tidak mahu ada kepentingan peribadi menyusup ke dalam pentadbiran PBT.

Berilah kuasa penuh kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang perlu bertindak kerana mempunyai kuasa sebagai Kerajaan Pusat.

PENDUDUK PRIHATIN

Ampangan, Seremban