Mungkin benar mereka bertindak sedemikian kerana ingin menjimatkan masa atau terlalu ‘malas’ untuk mendaki dan menuruni jejantas.

Sifat sebegini harus dibuang kerana bukan sahaja membahayakan nyawa sendiri malahan pengguna jalan raya lain. Berdasarkan maklum balas dan pemerhatian saya sendiri, aspek penyelenggaraan kurang baik antara sebab jejantas tidak digunakan orang ramai termasuk di kawasan bandar.

Tangga dan besi pemegang berkarat, bumbung bocor atau tercabut serta laluan kotor menunjukkan jejantas itu tidak diselenggara dengan baik.

Lebih membimbangkan, ada jejantas turut ‘dihuni’ gelandangan, peminta sedekah dan penagih dadah. Selain tidak selamat dan kotor, orang ramai turut memaklumkan mereka takut menggunakannya pada waktu malam kerana tiada lampu.

Bagi warga emas pula, mereka merasakan tidak mampu untuk memanjat anak tangga jejantas yang tinggi.

Apa yang membimbangkan, ramai pejalan kaki terbunuh ketika menyeberangi jalan berhampiran jejantas.

Antara Januari dan Oktober tahun ini sahaja, Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur merekodkan kira-kira 20 kes pejalan kaki maut dirempuh ketika melintas jalan.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, sebahagian besar kes melibatkan warga emas serta kanak-kanak, masing-masing berusia 55 tahun ke atas dan sembilan tahun ke bawah. Oleh itu, saya berharap pihak berkuasa tempatan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dapat mengaudit keselamatan dan kebersihan jejantas secara kerap.

Langkah tersebut penting bagi menjamin keselamatan orang ramai lantas menggalakkan mereka menggunakan jejantas dan bukannya melintasi jalan raya secara haram. Pihak berkuasa juga perlu meningkatkan kesedaran tentang bahaya menyeberangi jalan di tempat yang tidak dibenarkan melalui kempen kesedaran dengan kerjasama agensi berkaitan dan pertubuhan bukan kerajaan.

Untuk memudahkan warga tua, orang kurang upaya dan kanak-kanak, mungkin pihak berkuasa juga boleh memasang lif atau eskalator serta kamera litar tertutup (CCTV) demi keselamatan pengguna.

Untuk mengurangkan kos, pihak swasta mungkin boleh menaja separuh atau sepenuhnya pembinaan kemudahan tersebut.

Namun apa yang lebih penting adalah perubahan sikap dalam kalangan orang ramai. Pejalan kaki seharusnya menyeberangi jalan menggunakan jejantas atau laluan yang dibenarkan manakala pemandu kereta dan penunggang motosikal perlu sentiasa berhati-hati dan menghormati pejalan kaki.

TAN SRI LEE 
LAM THYE

Kuala Lumpur