MERUJUK surat pembaca FORUM Utusan Malaysia bertarikh 23 April 2018 bertajuk Kecewa Jawi, JAIS utama­kan warga asing.

Untuk makluman, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) tidak pernah melantik warganegara asing sebagai imam ratib, pembantu bilal, noja dan tenaga pengajar di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan.

Berdasarkan rekod pelantikan imam ratib dan pembantu bilal Wilayah Persekutuan, hanya warganegara mempunyai kad pengenalan dan penduduk tetap yang mempunyai kad pengenalan penduduk tetap (MyPR) dibenarkan untuk memohon tauliah imam ratib dan pembantu bilal di masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan.

Begitupun, tidak dinafikan terdapat masjid dan surau yang telah menjemput imam jemputan dan penceramah undangan dengan kelulusan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) yang mempunyai kredibiliti dalam bidang agama Islam.

Ini adalah inisiatif ahli jawatankuasa masjid dan surau bagi memeriahkan suasana perkembangan agama Islam melalui pelbagai bentuk program agama.

Dalam pada itu, personaliti agama tempatan tidak dipinggirkan malah peluang dan ruang dibuka sepenuhnya kepada sesiapa sahaja yang boleh menyampaikan ilmu-ilmu Islam di masjid dan surau dengan syarat mempunyai tauliah mengajar agama Islam yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP).

Sebagai makluman, Jawi sentiasa prihatin dan amat mengalu-alukan pandangan serta teguran orang ramai bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih berkualiti.

Pihak Jawi memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang masalah berkaitan dan ingin menyalurkan sebarang aduan supaya berhubung terus dengan pihak kami di talian 03-22749333 (Unit Perhubungan Awam dan Penerbitan Jawi) atau e-melkan kepada [email protected]

Orang ramai juga boleh mendapatkan sebarang maklumat dengan melayari laman jawi www.jawi.gov.my.

Pihak Jawi sekali lagi mengucapkan terima kasih dan menghargai keprihatinan orang ramai terhadap perkara ini. Kerjasama orang ramai sangat diperlukan bagi membantu meningkatkan lagi mutu perkhidmatan dari semasa ke semasa.

MOHD. AJIB ISMAIL
Pengarah Jabatan Agama 
Islam Wilayah Persekutuan