* Utusan tidak menguar-uarkan nilai murni dan memupuk perpaduan.

* Bagi memastikan warga pendidik dapat buat pertimbangan rasional berdasarkan isu-isu semasa.

* Utusan tidak dapat mewujudkan sikap menerima, menghormati dan mengurus kepelbagaian agama, bangsa, budaya serta bahasa di negara ini.

* Walaupun sudah bertukar saiz tetapi itu tidak boleh dianggap sudah ‘menukar pemikiran’.

Bagi orang Melayu yang prihatin banyak yang tersirat dalam kata-kata itu.

Bagaimana sebuah akhbar yang dipertahankan oleh Melayu sejak lebih enam dekad boleh dipersepsikan sebagai tidak mengura-uarkan nilai murni dan memupuk perpaduan ?

Akhbar Utusan Malaysia adalah penyalur hati nurani Melayu yang realistik dengan struktur rakyat Malaysia berbilang kaum.

Apabila ia dituduh sedemikian samalah ertinya menuduh hati nurani Melayu itulah yang tidak menguar-uarkan nilai murni dan tidak memupuk perpaduan.

Secara tersirat, timbalan menteri itu mengulangi rasa tidak puas hati dan prejudis yang kini semakin lumrah dilontarkan terhadap Melayu.

Utusan Malaysia juga dimomokkan sebagai menghalang warga pendidik membuat pertimbangan rasional dalam isu semasa. Dalam dunia tanpa sempadan ini semua pihak bersetuju bahawa pertimbangan rasional adalah hasil penelitian yang luas.

Kecenderungan mengehadkan saluran maklumat kepada yang disenangi sahaja bukanlah platform percambahan pertimbangan rasional.

Dakwaan Utusan Malaysia tidak dapat mewujudkan sikap menerima, menghormati dan mengurus kepelbagaian agama, bangsa, budaya serta bahasa di negara ini adalah usaha menganjak batu sempadan yang telah digariskan sejak merdeka lagi.

Frasa ini adalah pernyataan pihak yang kini telah mendapat keyakinan untuk berterus terang dengan pendirian yang telah lama terpendam.

Kini sikap itu sudah jelas dan terang.

CICIT SIAMANG GAGAP

Seremban