Mereka berjanji untuk menyediakan sejuta peluang pekerjaan baharu tetapi apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya apabila 500 pekerja kontrak kerajaan diberhentikan kerja, tidak sampai seminggu Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya.

Pakatan itu berjanji untuk menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta menurunkan harga barangan dengan mendakwa RM50 boleh membeli satu troli barang. Sekarang mereka memberi pelbagai alasan untuk tidak berbuat demikian termasuk menyebut “baru kahwin takkan terus dapat anak”.

Janji lain adalah untuk menurunkan harga minyak ke paras RM1.50 seliter tetapi sekarang menyatakan sistem apungan harga mingguan yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini akan berjalan seperti biasa.

Pakatan berkenaan turut membuat janji untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kes 1MDB tapi sekarang mereka menyatakan hanya akan berbuat demikian setelah mendapat bukti kukuh. Ini bermakna pelbagai tuduhan yang dibuat sebelum ini tidak berdasarkan bukti sahih.

Mereka turut berjanji hendak menangkap ahli perniagaan, Low Taek Jho yang didakwa terlibat dalam kes itu tetapi sekarang Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata: “Bukan kerja saya nak tangkap orang”.

Dalam pada itu, banyak janji lain yang tidak ditunaikan termasuk menghapuskan tol apabila menyatakan kadar yang dikenakan akan diteruskan mengikut perjanjian konsesi asal.

Inisiatif Jalur dan Laluan (Belt and Road) antara Malaysia dan China juga akan diteruskan padahal sebelum ini Pakatan Harapan mendakwa negara ini sudah tergadai kepada kuasa besar itu.

Kerajaan baharu juga menyatakan ekonomi negara kekal kukuh sedangkan sebelum ini mereka mendakwa Malaysia hampir bankrap.

RR

Kuala Lumpur