SEGALA janji yang terdapat dalam buku manifesto Pakatan Harapan setebal 195 muka surat perlu ditunaikan.

Ekoran keputusan itu, rakyat sedang menunggu kerajaan baharu menunaikan manifesto mereka termasuk mengkaji semula perjanjian dengan China membabitkan kos sebanyak RM55 bilion, menggantikan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta menyemak semula Akta Antiberita Tidak Benar 2018.

Manifesto yang dibentangkan oleh parti-parti yang bertanding ketika PRU-14 bertujuan menarik pengundi memangkah calon-calon mereka.

Manifesto itu boleh dikategorikan sebagai janji. Parti terbabit berjanji jika rakyat mengundi calon-calon mereka sehingga membolehkan mereka membentuk kerajaan, mereka akan berusaha sedaya upaya untuk melaksanakan manifesto berkenaan.

Dalam Islam, hukum berjanji adalah harus, namun melaksanakannya adalah wajib. Sebab itu, soal janji amat dititikberatkan dalam agama berkenaan sehingga Allah SWT berfirman dalam surah Al-Isra’ ayat 34 yang bermaksud: “Penuhilah janji itu, sebab janji itu akan ditanyakan.”

Membuat janji memang tidak susah, namun untuk melaksanakannya memerlukan komitmen dan kesungguhan berterusan daripada pihak yang berjanji.

Ramai dalam kalangan kita sendiri yang mudah berjanji, namun hanya sedikit bersungguh-sungguh melaksanakan janji masing-masing.

Nabi Muhammad SAW juga pernah bersabda mengenai tiga golongan munafik yang mengaku diri mereka Islam tetapi dalam hati tersimpan kebencian terhadap agama terbabit. Salah satu ciri golongan berkenaan adalah apabila berjanji mereka tidak menepati. Ayat al-Quran dan hadis ini jelas menunjukkan bahawa hal itu dipandang serius dalam Islam.

Ingatlah mana-mana parti yang mempermainkan janji dengan hanya bercakap kosong tetapi tiada usaha untuk melaksanakannya akan membuatkan rakyat hilang kepercayaan dan akan dihukum pada PRU akan datang.

 

NORFARIHA HANIM 
MOHD. ROSLI

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)