Manifesto mereka mahu menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan memberi subsidi petrol sebagai langkah tepat menurunkan harga barang. Ditambah janji mengekalkan BR1M, dari mana datangnya dana untuk mereka menampung semua itu.

Kempen ini mengelirukan rakyat atau lebih tepat menyesatkan. Sehingga Mac 2018, semua pemimpin gabungan pembangkang PKR menyatakan mereka mahu membatalkan BR1M kerana ia sesuatu yang ‘korup’ dan tidak relevan. Tun Dr. Mahathir Mohamad juga menganggap BR1M sebagai dedak dan rasuah.

Sepanjang pentadbiran Dr. Mahathir, beliau bukanlah orang yang bersedia memberi bantuan kepada rakyat sebaliknya gemar memberi subsidi pukal kepada konglomerat dan tidak mustahil semua itu berulang bagi memudahkan wang negara diagih kepada kroni-kroninya.

Berdasarkan kenyataan dan pandangan pemimpin pembangkang sejak dua tahun lalu, saya pasti sebahagian besar penerima BR1M tidak lagi akan menerima bantuan itu jika mereka menang.

Gabungan pembangkang PKR berjanji mahu menghapuskan GST bagi menurunkan kos sara hidup rakyat tetapi sejak zaman Dr. Mahathir yang tiada GST juga kita sentiasa berbicara isu harga barang naik. Mereka tidak menyatakan apakah sistem cukai yang bakal menggantikan GST, berapa kadarnya dan bagaimana ia boleh menampung subsidi dan kebajikan mereka berjumlah hampir RM100 bilion, itu pun dalam bidang kesihatan, pendidikan dan keselamatan sahaja.

Penggantian GST kepada sistem cukai lain hanya akan menaikkan harga barang sekali lagi. Pengenalan cukai baharu akan memberi alasan untuk peniaga sekali lagi mengaut untung atas angin. Apa keuntungannya kepada rakyat?

Pembangkang juga berjanji akan memberi subsidi petrol bagi menurunkan kos sara hidup. Apa yang kebanyakan rakyat tidak baca ialah subsidi petrol itu bersasar kepada kenderaan 1.3 cc dan ke bawah sahaja sementara selebihnya mengikut harga pasaran. Jika ini berlaku, harga petrol dan diesel majoriti pengguna akan lebih tinggi berbanding sistem sekarang. Kerajaan kini mengenakan harga kawalan keuntungan tidak lebih daripada 15 peratus selain pengecualian cukai yang membolehkan harga petrol dan diesel Malaysia kekal antara terendah di dunia.

Cara pembangkang merancang ekonomi sungguh tidak masuk akal. Sebab itu, manifesto gabungan pembangkang PKR dikritik oleh pelbagai pakar ekonomi termasuk Bank Dunia.

Satu-satunya yang boleh dibanggakan adalah memberi air percuma 20 meter padu pertama bernilai RM11 sebulan. Namun, mereka mengurangkan perbelanjaan baik pulih dan menaik taraf sehingga Selangor sentiasa mengalami masalah gangguan bekalan air.

Pembangkang di Selangor menjanjikan berpuluh ribu rumah kos rendah dan mampu milik tetapi akhirnya tertangguh begitu sahaja. Demikian juga tiada rumah untuk rakyat berpendapatan rendah dan sederhana terbina di Pulau Pinang. Akhirnya, Kerajaan Persekutuan yang mengambil alih tanggungjawab membina Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dengan kos subsidi bagi memenuhi keperluan rakyat Lembah Klang dan Pulau Pinang.

Sebelum anda mengundi, duduk sejenak dan lihat semula segala polisi yang dibuat di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak dalam membangunkan negara ini.

Daripada bantuan kepada rakyat miskin dan berpendapatan rendah (BR1M, 1AZAM, bantuan pesawah dan pekebun kecil getah), menaik taraf dan menambah perkhidmatan kesihatan termasuk Klinik 1Malaysia, menaik taraf perkhidmatan keselamatan termasuk peralatan dan kediaman anggota pasukan keselamatan, menaikkan gaji kakitangan awam dan guru-guru serta banyak lagi.

Malah golongan muda yang menganggur juga kini dijanjikan elaun latihan selama enam bulan melalui Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) dengan elaun bulanan antara RM1,500 hingga RM2,000.

Sebelum mengundi, ingatlah pentadbiran Najib hari ini menyentuh setiap pelosok negara sehingga ke pedalaman dan luar bandar, termasuk Sabah dan Sarawak.

Jika zaman Dr. Mahathir pembangunan negara berpusat di bandar-bandar utama pantai barat dahulu sebelum melebar ke kawasan sekeliling, kini pembangunan negara bermula dari hujung sempadan negara dan bahagian tengah sebelum melebar ke kawasan-kawasan sekitarnya.

 

AB JALIL BACKER

Angkatan Karyawan Nasionalis Malaysia (Akar)