Rakyat tetap setia keluar mengundi demi untuk menjalankan tugas dan bertanggungjawab kepada negaranya.

Yang tua bertongkat, yang dipapah tetap keluar membuang undi dan tidak kira hujan atau ribut rakyat tetap tidak melupakan tanggungjawab mereka sebagai warga negara Malaysia yang setia demi negara yang tercinta.

Semua calon bertanding bersemangat berkobar-kobar dengan janji-janji manis malah sanggup bersumpah dan tunjuk muka kasihan sambil merayu kepada pengundi supaya memilih mereka menjadi wakil rakyat.

Ada yang betul-betul turun padang bukan sahaja bersalaman degan rakyat tetapi sanggup mengotorkan tangan mengangkat sampah serta masuk longkang dan sanggup meredah sawah bendang demi untuk menjaga hati rakyat.

Tetapi kenapa janji tinggal janji. Bila sudah bergelar wakil rakyat bukan sahaja kawasan perlahan-lahan tidak dijengok malahan persidangan Parlimen yang hanya perlu hadir beberapa musim itu pun sudah mula tidak nampak muka. Kerap ponteng dan hanya hadir apabila ada berkaitan yang perlu sahaja.

Inikah sikap wakil rakyat dan telah menjadi terbiasa di mana disiplin dan tanggungjawab serta amanah diberikan itu tidak disempurnakan sebaiknya. 
 Malu rasanya apabila menonton secara langsung di mana semasa persidangan Parlimen kelihatan lenggang di barisan tempat duduk baik di sebelah kerajaan atau pun pembangkang.

Agaknya apa perasaan wakil rakyat bila mereka menonton sendiri melalui TV atau Internet kelihatan hanya Speaker yang rajin datang dan beberapa wakil rakyat sahaja yang hadir.

Cuba kita bandingkan sidang Parlimen di luar negara di mana boleh dikatakan hampir 100 peratus yang akan hadir mengikuti dan menghadiri semua sesi perbahasan.

Kalau menteri atau timbalan menteri tidak hadir bolehlah diberikan alasan kerana tugasan yang ketat tetapi kalau wakil rakyat juga memberikan alasan sama memang tidak logik langsung.

Sudahlah kebanyakan janji tinggal janji tidak kiralah anda wakil rakyat kerajaan mahu pun pembangkang.

SYED ABDULLAH 
SYED OSMAN

Ampangan Seremban