Sekali imbas pasti ramai rakyat berkata betapa beruntungnya menjadi ahli politik yang berjawatan dalam negara kita. Rakyat tentu tertanya-tanya bagaimana para pemimpin peringkat negeri dan negara mempunyai aset bernilai jutaan ringgit.

Kita semua tentu sedia maklum terdapat ramai lagi rakyat yang susah bak kata pepatah ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ yang terhimpit kerana kesukaran untuk meneruskan kelangsungan hidup. Golongan ini pasti amat terkesan apabila membandingkan apa yang mereka peroleh dengan pendapatan dan jumlah aset yang dimiliki
para pemimpin mereka.

Kalau dilihat dari sudut jumlah pendapatan dan aset yang dimiliki, tentunya para pemimpin hidup selesa tambahan pula dengan imbuhan percuma seperti kenderaan, kediaman, pemandu dan lain-lain.

Oleh itu, janganlah ada dalam kalangan pemimpin sama ada pemerintah atau pembangkang menafikan atau membantah sebarang subsidi untuk rakyat yang susah dan memerlukan. Cuba bayangkan sekiranya para menteri Kabinet, menteri besar, exco atau wakil rakyat bertukar tempat dengan kedudukan rakyat yang susah, barulah mereka betul-betul dapat merasakan keperitan hidup sebegitu.

Kalau difikir-fikirkan, tidak hairanlah kenapa ramai sangat yang hendak menjadi ahli politik dengan melihat pemilikan harta dan pendapatan mereka. Oleh itu, mana-mana pihak yang dipilih menjadi pemimpin, kalau ada lebihan aset eloklah disalurkan semula sebahagian daripadanya untuk kebajikan rakyat. Itu baharu betul menjadi pemimpin berjiwa rakyat. Pasti anda semua akan menjadi pemimpin yang disayangi dan disanjungi rakyat.

ZULKIFLI ABIDIN

Kuala Lumpur