SAHABAT Alam Malaysia (SAM) kesal dengan tindakan tidak berhati-hati penyelidik yang sering memuat naik ke dalam media sosial lokasi penemuan haiwan terancam dan spesies baharu binatang.

Walaupun langkah itu mungkin bertujuan baik untuk memberikan maklumat kepada orang ramai dan mendapat sokongan dana bagi memulihara haiwan berkenaan, pendedahan itu juga boleh membawa keburukan.

Langkah itu boleh menarik minat pemburu haram untuk menangkap haiwan berkenaan. Ini kerana pemburu terbabit turut menggunakan internet bagi memperdagangkan haiwan terancam yang ditangkap mereka.

Ada penyelidik mungkin menganggap tidak apa memaparkan imej haiwan berkenaan dalam Facebook, Twitter dan Instagram sekiranya tidak dinyatakan lokasi sebenar binatang itu.

Tanggapan itu adalah salah kerana pemburu haram mampu untuk menggunakan gambar berkenaan bagi mencari dan membunuh haiwan itu dengan memuat turun data digital yang terdapat dalam imej berkenaan.

Banyak kamera dan telefon pintar secara automatik merekodkan lokasi dan waktu imej dirakamkan. Kebiasaannya maklumat itu tidak dipadamkan ketika gambar dimuat naik ke media sosial.

Sehubungan itu, penyelidik perlu mengambil sikap lebih berhati-hati dan sentiasa merahsiakan lokasi sebenar haiwan terancam ditemui.

Langkah itu adalah selaras dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN) yang melarang penerbitan data lokasi bagi spesies terancam yang mempunyai nilai ekonomi tinggi.

Pastikan hidupan liar kita tidak terdedah kepada bahaya ekoran keghairahan penyelidik untuk menyebarkan gambar tular dan mendapat publisiti.

SAM

Pulau Pinang