ANTARA perkara yang ditulis dan memang telah lama disuarakan adalah isu pensyarah kena ‘gam’ dan dihukum secara halus kerana perasaan hasad dengki, termasuklah oleh golongan yes man yang hipokrit. Aduan ini amnya berkisar mengenai pensyarah universiti tetapi tidak termasuk warga akademik di tempat lain.

Mungkin bagi yang mengikuti media arus perdana akan berusaha menyuarakan pendapat dan pandangan, namun yang nyata adalah pensyarah hanya mampu bersuara di kantin dan di ruang tempat kerja. Paling tidak, ramai yang membiarkan sahaja dan memendam rasa sehingga tamat tempoh perkhidmatan kerana sudah sedia maklum bahawa tiada perubahan yang akan berlaku.

Saya juga sering mendengar mengenai status kami sebagai kakitangan akademik yang bergelar ‘pensyarah’ di Institut Pendidikan Guru (IPG). Penulisan saya berjudul Guru, Pensyarah & Pendidik - Sama Tapi Tak Serupa juga pernah disiarkan sebuah majalah pendidikan tetapi tidak mendapat perhatian.

Mengembalikan ‘kegembiraan’ mungkin perkara utama yang dinyatakan, saling menyayangi dan hormat menghormati tidak harus dilupakan berdasarkan hasrat Menteri Pendidikan Malaysia yang baharu.

Kami juga ingin merasakan kegembiraan atau kebahagiaan, sayang-menyayangi dan dihormati seperti rakan pensyarah kami di universiti. Namun, apa yang sebenarnya ramai rakan saya tidak suarakan mungkin dapat diberi perhatian.

Kembalikan masa bertugas kami di IPG seperti mana rakan kami di sekolah. Sudah hampir 10 tahun kami terpaksa bertugas bermula dari 8 pagi hingga 5 petang (tidak termasuk waktu anjal). Walhal, kami berstatus DG (Darjat Guru), sama dengan rakan guru di sekolah yang juga gred DG . Kami bukan berstatus atau gred DS, DM atau DH seperti rakan kami yang lain.

Seperti rakan kami di sekolah, kami di IPG juga mengikuti sistem persekolahan yang sama. Kami juga bercuti mengikut rakan kami di sekolah tetapi dalam beberapa hal yang diarahkan tidak ada bezanya dengan di sekolah.

Dalam bidang tugas, tidak ada bezanya kami dengan guru sekolah seperti menjadi ahli jawatankuasa (AJK) Akademik dan juga AJK Kokurikulum, penasihat sukan, penasihat persatuan dan sebagainya.

Pensyarah di IPG juga diarah untuk menjalankan kajian dan penyelidikan tetapi kewajaran dalam penilaian keberhasilan atau prestasi kerja tidak mencerminkan apa yang dihasratkan.

Apabila ditanya mengenai surat arahan atau pekeliling yang diguna pakai, pihak pentadbir tidak pula memberi atau menunjukkan dokumen yang dimaksudkan.

Seperti di tempat kerja lain dalam perkhidmatan awam, sesiapa yang ‘berbunyi’ atau ‘mempromosikan’ ketidakpuasan hati akan ‘disenarai hitam’ dan pastinya peluang kenaikan pangkat akan terjejas.

AZIZI AHMAD

Pendidik