Laporan akhbar mendakwa ada sahaja laporan polis terhadap guru dan sekolah setiap minggu menunjukkan ibu bapa itu sendiri yang ‘terlalu manja’.

Tidak kurang juga ibu bapa yang mendapatkan khidmat guaman untuk perkara ‘remeh’, membuang duit sendiri dan juga duit Kementerian Pendidikan sedangkan semuanya boleh diselesaikan dengan berbincang secara baik.

Saya akui ada juga kes guru-guru yang melangkaui batasan tetapi bilangannya terlalu sedikit, umpama langit dan bumi jika dibandingkan dengan bilangan laporan polis daripada ibu bapa.

Dahulu, ibu bapa akan menyokong guru dalam apa jua tindakan mendidik anak-anak tetapi sekarang masalah disiplin mahupun masalah akademik murid disalahkan guru sepenuhnya.

Mungkin pakar psikologi boleh membuat kajian kenapa ibu bapa sekarang begitu ‘lembik’, sama ada trauma dengan cara didikan ibu bapa mereka dahulu, terlalu memanjakan anak atau ada masalah psikologi lain.

Ironinya, ibu bapa yang tidak suka orang lain, termasuk guru-guru, memarahi anak mereka adalah golongan yang gemar melepaskan geram terhadap anak-anak khususnya jika berdepan tekanan di tempat kerja.

Secara realistik, tidak ramai guru ‘kaki pukul’ dan begitu juga ibu bapa ‘kaki repot’ tetapi memandangkan nisbah mencecah 1,000 ibu bapa bagi setiap guru di sesebuah sekolah, tidak pelik begitu banyak laporan polis dibuat di seluruh negara.

Saya sendiri pernah berdepan kes guru memukul anak tanpa sebab munasabah tetapi saya selesaikan secara baik dengan pengurusan sekolah kerana yang paling utama adalah anak-anak dapat belajar dengan aman.

Janganlah kerana masalah kecil mahu bergaduh sehinggakan menuntut guru dipecat atau dipindahkan. Perlu di ingat, berkat ilmu daripada guru amat penting dan tugas mendidik itu paling mulia kerana menjadi asas kepada semua cabang ilmu lain.

Jangan terlalu manja dalam membesarkan anak, kelak anak-anak ini tidak dapat berdikari bila masuk ke universiti mahupun alam pekerjaan.

DR. LUQMAN HAKIM
Alor Setar, Kedah