AGAMA Islam itu mudah dan dipermudahkan untuk kebaikan umatnya tetapi mengapa pula seorang lelaki yang hendak berpoligami mesti dikenakan syarat begitu ketat sekali?

Apa bezanya suami-suami yang membawa pasangan mereka pergi lari jauh ke negara seberang seperti Thailand untuk bernikah tetapi diisytiharkan sah juga kerana cukup syarat dan rukun nikah mereka serta hanya perlu membayar denda sebanyak RM1,000 kepada Jabatan Agama Islam bila pulang ke Malaysia?

Jika segala syarat dan rukun nikah mencukupi, sepatutnya tiada desakan pergi ke seberang kecuali di tempat sendiri dikenakan syarat-syarat yang menyusahkan.

Janganlah kita menyulitkan lagi hal-hal sebegini sedangkan Islam itu sendiri mempermudahkan sementara hukum atau syarat dicipta manusia kita boleh ubah bagi membawa manfaat kepada ummah.

Diharap pihak hal ehwal agama kaji semula syarat-syarat yang tidak bersesuaian sehingga menyusahkan suami-suami yang berniat berkahwin lagi sedangkan perkahwinan itu sendiri adalah digalakkan bagi menambahkan zuriat umat Islam di samping membantu kaum wanita yang masih ramai belum mempunyai pasangan.

Di negara-negara Arab, jarang didengar kaum lelaki berkahwin satu tetapi berkahwin lebih daripada satu menjadi kebiasaan dengan ramai lelaki di sana mempunyai dua, tiga atau empat orang isteri.

Bila Allah membenarkan dan perintahkan sesuatu, sebenarnya adalah untuk kebaikan manusia itu sendiri dan janganlah kita mengikut amalan agama atau bangsa lain yang menetapkan seorang lelaki hanya layak untuk seorang isteri sahaja.

SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL

Ampangan Seremban