Walaupun institusi keluarga adalah ejen sosial terkecil tetapi peranannya cukup besar dalam melahirkan insan cemerlang. Atas sebab itu, Islam menuntut para suami sambil dibantu oleh isteri memainkan peranan masing-masing membentuk keluarga ke arah jalan yang diredai oleh Allah SWT.

Seperti mana yang pernah disebut oleh Rasulullah SAW dalam satu hadis, ibu bapa bertanggungjawab mencorak anak-anak mereka yang dilahirkan dalam keadaan fitrah. Terpulanglah kepada kebijaksanaan ibu bapa cara mana mereka mahu membentuk anak masing-masing.

Dalam konteks hidup sebagai seorang Muslim sudah tentu ibu bapa bercita-cita melahirkan anak-anak yang sentiasa taat kepada perintah Allah dan Rasul-Nya. Mungkin disebabkan faktor tersebut ramai dalam kalangan ibu bapa sekarang berlumba-lumba menghantar anak-anak mereka ke sekolah aliran agama.

Sekurang-kurangnya anak-anak itu mempunyai asas agama yang kuat walaupun berkecimpung dalam bidang-bidang profesional. Sungguhpun begitu tidaklah boleh kita katakan mereka yang bukan berada dalam aliran agama tidak boleh menjadi seorang Muslim yang baik.

Cuma kita tidak nafikan terdapat ibu bapa yang terlalu mementingkan bidang-bidang keduniaan hingga mereka lupa mengingatkan anak-anak tentang hubungan dengan Allah. Ini menyebabkan anak-anak mereka jauh daripada Allah. Lebih malang lagi anak-anak ini akan melupakan jasa ibu bapa setelah mereka berjaya nanti.

Mengapa perkara ini boleh berlaku? Jawapannya, ini disebabkan kegagalan ibu bapa memberikan pendidikan agama kepada anak-anak. Jika tidak mampu, mereka wajar menghantar anak-anak ini kepada ustaz atau ustazah untuk diberikan didikan agama yang sempurna.

Selain ibu bapa, setiap anak juga perlu memikul tanggungjawab membahagiakan keluarga melalui akhlak mulia dan budi bahasa. Tingkah laku anak yang sopan pasti dapat menenangkan ibu bapa.

Ibu bapa mudah berkecil hati jika anak mengeluarkan kata-kata kasar lebih-lebih lagi ketika mereka sudah berusia. Oleh itu, jagalah lidah dan jangan sampai kita bercakap kasar dengan mereka. Berlemah-lembut terhadap ibu bapa meskipun kadang kala kita tidak bersetuju dengan sikap mereka. Malah dalam al-Quran sendiri menuntut anak-anak bercakap dengan ibu bapa dengan perkataan yang mulia.

Firman Allah dalam Surah al-Isra’ ayat 23;”Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali (ibu bapa) sampai kepada umur tua dalam jagaan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka sekalipun perkataan `ah’ dan janganlah kamu menengking dan menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia.”

Ayat di atas melarang kita bercakap kasar dengan ibu bapa walaupun dengan hanya berkata `ah’, `cis’ mahupun `uh’. Bayangkan perkataan yang sebegini pun sudah dilarang apatah lagi jika kita bersikap biadab terhadap ibu bapa. Sudah tentu mereka yang biadab terhadap ibu bapa akan mendapat dosa lebih besar.

Hakikatnya, Islam melarang keras segala perbuatan dan perkataan yang boleh menyinggung perasaan ibu bapa. Kita bimbang di saat-saat anak-anak ini berada dalam keadaan derhaka, ibu bapa pula kembali bertemu Allah dalam keadaan mereka tidak sempat memohon ampun.

Rasulullah SAW sendiri dalam banyak hadis baginda menyeru setiap umatnya berbuat baik kepada ibu bapa. Malah Rasulullah SAW sendiri adalah model terbaik yang wajib kita contohi dalam konteks sebagai seorang anak.

Dalam satu hadis yang cukup masyhur, Rasulullah telah menggariskan tiga amalan yang paling disukai oleh Allah SWT iaitu solat pada waktunya, berbuat baik kepada ibu bapa dan berjihad di jalan Allah.

FARAH SHAHIRAH

AHMAD ZAKI

Bandar Baru Nilai