Sebelum pemilihan, rakyat didedahkan dengan kritikan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dilihat gagal menguruskan keewangan negara sehinggalah banyak peruntukan telah ditarik balik. Juga, banyak projek dan aktiviti di bawah kementerian, jabatan, institusi pengajian tinggi dan institusi penyelidikan terpaksa ditangguh dan tidak dapat dijalankan.

Sebenarnya apa sudah jadi? Saya sangat bersetuju sekiranya projek-projek mega yang memerlukan peruntukan berbilion ringgit ditangguhkan atau dibatalkan kerana manafaatnya hanya dapat dikecapi oleh rakyat setelah 10 tahun apatah lagi untuk menjana keuntungan.

Tetapi takkanlah projek pertanian seperti tanaman semula getah, kelapa sawit dan subsidi tanaman jangka pendek seperti padi dikekang. Sebahagian peruntukan kepada agensi pelaksana telah dipotong. Akibatnya banyak rancangan tanaman semula terpaksa ditangguhkan termasuk tapak tanaman yang sudah ditebang, dibersihkan dan sedia untuk ditanam.

Keadaan ini boleh mengundang kos tanaman semula yang lebih besar. Projek seperti ini bukannya jumlah berbilion. Ia hanya memerlukan jutaan ringgit sahaja berbanding dengan kos projek mega. Perlu diingatkan bahawa getah dan sawit adalah antara komoditi utama negara.

Lagi pun tanaman seperti getah dan sawit hanya memerlukan masa empat hingga lima tahun unutk mengeluarkan hasil dan terus memberikan pulangan modal.

Takkanlah PH boleh terlepas pandang dan tidak dapat menimbangkan keutamaan projek yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara terutama golongan petani dan pekebun.

Justeru, Belanjawan 2019 wajar memberi peruntukan yang mencukupi bagi kelangsungan projek tanaman getah dan sawit serta produk industri asas tani yang lain.

PAK DAN JJ

Johor