Ini adalah prinsip utama yang perlu dipegang oleh beberapa profesion seperti kehakiman. Saya terpanggil mengulas prinsip ini apabila merenung ‘penangguhan’ yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada menghadiri program Sembang Santai Bossku di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi pada Jumaat lalu.

 

Baharu sahaja sebelum ini UKM ‘bergegar’ dengan isu larangan kemasukan terhadap aktivis sosial, Hishamuddin Rais. Kerana ia melibatkan seorang aktivis pro-Pakatan Harapan (PH) dan berlangsung dalam apa yang dipanggil era Malaysia Baharu, maka tentu sahaja ia mencuit perhatian ramai.

Namun apabila ‘pita merah’ yang sama turut melilit Najib, dalam mana seruan ‘kesaksamaan ruang’ dilaungkan dengan bersungguh-sungguh oleh Kementerian Pendidikan, ia seharusnya menuntut perhatian yang serupa.

Namun anehnya, kritikan dan laungan sama tidak pula kedengaran dalam kes Najib khususnya daripada mereka yang mentakrifkan diri mereka sebagai pejuang kebebasan akademik dan juga kebebasan bersuara (yang sememangnya seringkali gagal mengetengahkan diri sebagai platform yang tidak partisan).

Fenomena ini sekadar dilihat menebalkan hakikat mengenai jurang yang wujud antara retorik dan praktik. Alasan yang dikemukakan UKM iaitu ‘faktor keselamatan’ bukan sahaja satu lagi lawak lelucon, namun turut memperlihatkan keselesaan birokrat universiti untuk bersandar atas alasan teknikal - hujah yang sering menjadi kegemaran birokrat universiti awam dalam pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Apa jua alasan pasca kejadian yang dikemukakan oleh birokrat universiti tidak lagi menjadi persoalan penting kerana fakta utama yang diberi perhatian ramai adalah ‘sekatan’. Saya sebenarnya menyangkakan ceramah Hishamuddin pada 20 November 2018 akan dihadiri oleh ratusan atau ribuan pelajar. Namun yang hadir sekitar 30 hingga 50 orang sahaja.

Begitu juga dengan kehadiran Najib di sebuah kafe di Bandar Baru Bangi, Selangor pada Jumaat lalu hanya dihadiri sekitar 100 pelajar. Apakah angka-angka ini begitu besar dalam konteks keseluruhan pelajar UKM yang menghampiri 25,000 orang sehingga pihak universiti harus takut dengan bayang-bayang sendiri?

Apa jua pandangan dan pendirian seseorang terhadap individu seperti Najib, kebebasan bersuara beliau untuk bercakap dan mengadakan pertemuan dengan sesiapa sahaja tidak boleh diragut atau dilihat telah dinafikan.

Sudah tiba masanya kerajaan PH dan birokrat universiti awam menghantar mesej bahawa kesaksamaan bukan sahaja perlu dilaksanakan tetapi dilihat telah dilaksanakan.

Kejelasan moral ini perlu dijunjung secara konsisten. Jika tidak, elok sahaja kita campakkan retorik seperti ‘autonomi’, ‘kebebasan akademik’, ‘dasar keterbukaan’, ‘universiti berkelas dunia’ dan sebagainya daripada kamus pengajian tinggi.

Satu slogan yang dilaksanakan lebih baik daripada seribu slogan yang hanya berperanan seperti pasu penghias.

PENSYARAH UKM

Bangi