Jika sekadar lawak jenaka yang diperkatakan, mungkin ia boleh dianggap hiburan ringan di kala menghilangkan tekanan, tetapi jika membabitkan unsur-unsur penghinaan, fitnah dan cacian, ia langsung memberi impak negatif kepada imej individu, organisasi mahupun negara.

Sebagai contoh, isu yang hangat ketika ini berkaitan satu video yang tular melibatkan anggota bomba yang cedera parah, Muhammad Adib Mohd. Kassim dalam tragedi rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman Seafield yang dikatakan dilanggar jentera bomba.

Sedangkan hasil siasatan mendapati, individu yang dirakamkan sedang berdiri di belakang jentera bomba ketika ia sedang berundur bukanlah Muhammad Adib.

Selain itu, baru-baru ini, tular satu rakaman video berdurasi satu minit yang memaparkan situasi cemas yang didakwa dirakam oleh penumpang pesawat Lion Air JT610 Jakarta-Pangkal Pinang sebelum terhempas dan mengorbankan 189 penumpang termasuk kru kapal.

Sebaliknya, sebuah portal berita Indonesia melaporkan, video berkenaan adalah rakaman oleh penumpang pesawat Lion Air JT 353 dari Padang menuju Jakarta beberapa tahun lalu.

Sungguhpun isu viral banyak dilihat dari sudut negatif, namun ada juga sisi positif yang membawa kebaikan. Sebagai contoh, menularkan promosi perniagaan di laman sosial adalah satu bentuk perkongsian yang sangat baik. Setiap perniagaan memerlukan hebahan berita kepada pelanggan dan orang ramai tentang produk atau perkhidmatan yang dijual dan tular adalah satu kaedah yang sangat efektif.

Selain itu, aplikasi media sosial juga boleh digunakan untuk penyebaran ilmu dan dakwah hingga seseorang itu mampu mengumpulkan pahala jariah yang berterusan walaupun ketika jasadnya sudah tiada lagi di dunia ini. Namun, perkongsian berkaitan al-Quran dan hadis juga perlu disemak kesahihan terlebih dahulu.

Kesimpulannya, sebagai pengguna kita haruslah bijak dalam menyebarkan atau berkongsi berita, gambar dan video di laman sosial. Jika digunakan dengan niat yang betul, maka baiklah kesannya dan begitu juga sebaliknya. Setiap orang juga perlu bertanggungjawab dengan apa yang mereka sebar di media sosial. Pastikan setiap perkara yang ingin disebarkan benar, tidak menceroboh hak peribadi orang lain termasuk unsur yang berbaur fitnah serta hasutan.

SYIDATUL AKMA SULAIMAN

UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor