Saya rasa sudah sampai masanya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengadakan operasi besar-besaran membuang semua pokok jenis senang tumbang ini dan digantikan dengan spesies lebih kuat mencengkam tanah seperti pokok berakar tunjang.

Kita tidak boleh salahkan DBKL sepenuhnya dalam isu ini memandangkan pokok-pokok besar yang senang tumbang ini ditanam ketika zaman ilmu dan pengalaman berkaitan pokok hiasan dan landskap kota langsung tidak wujud.

Akhirnya, warga kota dan pegawai DBKL zaman sekarang yang terpaksa menanggung kesan yang tidak pernah dijangka ketika pokok-pokok itu ditanam berpuluh-puluh tahun lalu.

Namun, DBKL kini perlu bertindak proaktif membuang semua atau sebanyak mungkin pokok-pokok berisiko tumbang atau patah dahan khususnya berhampiran jalan raya dan tempat tumpuan awam.

Imbangi antara kehijauan kota dan keselamatan awam supaya berita pokok tumbang menghempap orang tidak lagi kedengaran.

SYASHA AHMAD

Kuala Lumpur