Suhakam mengambil maklum akan saman yang telah difailkan oleh Kerajaan Persekutuan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu. Ini adalah kali pertama dalam sejarah Malaysia, kerajaan campur tangan dalam menangani isu Orang Asli, satu tindakan yang seharusnya dilaksanakan sejak dahulu lagi.

Walaupun isu tanah merupakan bidang kuasa kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan untuk menegakkan hak Orang Asli kerana mereka juga merupakan warganegara. Pengabaian kewajipan terhadap Orang Asli merupakan tindakan yang tidak beretika oleh Kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan negeri terutamanya perkara yang melibatkan hak-hak mereka.

Suhakam percaya sekiranya tanggungjawab untuk melaksanakan rundingan diabaikan, kelulusan atau permit syarikat-syarikat pembalakan yang terlibat harus dibatalkan. Adalah diharapkan agar tindakan ini akan menjadi contoh yang seharusnya diambil oleh kerajaan negeri bagi memelihara hak Orang Asli pada masa hadapan.

Kami percaya bahawa kerajaan negeri dapat mencari jalan bagi menyelesaikan perkara ini dengan segera malah ia boleh dilaksanakan sekarang tanpa perlu menunggu keputusan mahkamah bagi memberikan hak Orang Asli terhadap tanah mereka sejak sekian lama.

Suhakam turut bercadang untuk menghantar peguam pemerhati bagi mengikuti perkembangan kes ini secara terperinci.

TAN SRI RAZALI ISMAIL

Pengerusi Suhakam